187 Projek GKCDA Bernilai RM149.5 Juta Pacu Pembangunan N1 Opar
SEMATAN: Sebanyak 187 projek pembangunan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bernilai RM149.5 juta telah diluluskan dan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar bagi mempercepat pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kemudahan asas masyarakat luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA, Datuk Ik Pahon Joyik berkata, pelaksanaan projek berkenaan memberi tumpuan kepada keperluan asas penduduk termasuk pembinaan jalan perhubungan dan jalan pertanian, bekalan air terawat, sistem paip graviti, bekalan elektrik serta infrastruktur komunikasi.
“Jumlah berkenaan hanya merangkumi projek di bawah GKCDA dan tidak termasuk peruntukan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) serta inisiatif pembangunan lain oleh kementerian dan agensi kerajaan.
“Sebanyak 187 projek di bawah GKCDA telah diluluskan dan dilaksanakan di kawasan Opar bagi memastikan masyarakat luar bandar, khususnya masyarakat Bidayuh, dapat menikmati kemudahan infrastruktur asas yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek-Projek GKCDA di Kampung Temaga Dayak, di sini pada Sabtu.
Datuk Ik berkata, keutamaan pembangunan di kawasan Opar berbeza berbanding beberapa kawasan lain dalam lingkungan GKCDA yang telah menikmati kemudahan infrastruktur lebih lengkap berikutan kedudukannya yang berhampiran pusat bandar.
Pada majlis itu, Datuk Ik turut menyempurnakan perasmian projek-projek pembangunan GKCDA yang telah dilaksanakan di Kampung Temaga Dayak. -EDISI UKAS