Citrawarna 2026 Buka Tirai Festival Konvokesyen UNIMAS
KOTA SAMARAHAN: Kepelbagaian budaya dan kreativiti mahasiswa menjadi tumpuan menerusi penganjuran Citrawarna 2026 yang membuka tirai Festival Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) 2026 di Dataran Canselori UNIMAS, pada Sabtu.
Mengangkat tema ‘Colours of Culture’, acara berkenaan mengetengahkan keunikan warisan dan identiti budaya masyarakat menerusi persembahan tarian, muzik, busana tradisional serta kreativiti pentas yang dipersembahkan oleh mahasiswa.
Penganjuran Citrawarna bukan sahaja menjadi platform untuk mengetengahkan bakat seni mahasiswa, malah turut menyemai semangat perpaduan, kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan warga universiti yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Festival Konvokesyen UNIMAS 2026 telah dilancarkan oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato Dr Ahmad Hata Rasit menerusi gimik pelancaran yang berlangsung pada majlis berkenaan.
Penyertaan kolej-kolej kediaman UNIMAS turut memeriahkan acara menerusi persembahan yang membawa interpretasi tersendiri terhadap tema, sekali gus memperlihatkan kreativiti serta semangat berpasukan dalam kalangan mahasiswa.
Selain mengangkat keindahan warisan budaya, penglibatan mahasiswa dalam acara berkenaan turut memberi ruang untuk mengembangkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan keupayaan bekerjasama melalui aktiviti kesenian.
Sementara itu, Festival Konvokesyen UNIMAS (ConFEST) 2026 turut menampilkan pelbagai pengisian sepanjang penganjurannya, antaranya Malam Selawat dan Christian Fellowship, Ragbi Piala TNC HEPA UNIMAS, Postgraduate Open Day, UNIMAS STAR Voice serta MEKAR 2.0.
Kepelbagaian pengisian itu menjadikan ConFEST bukan sekadar platform meraikan kejayaan akademik dan graduan, malah menyediakan ruang kepada warga universiti untuk menyertai aktiviti kebudayaan, kesenian, sukan dan pembangunan ilmu.
Secara keseluruhannya, penganjuran Citrawarna dan ConFEST 2026 mencerminkan komitmen UNIMAS dalam menjadikan kepelbagaian budaya sebagai kekuatan komuniti kampus, di samping menggalakkan mahasiswa terus menyerlahkan potensi dan kreativiti mereka.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Profesor Ir Ts Dr Al-Khalid Othman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS, Profesir Ir Dr Siti Noor Linda Taib dan Profesor Dr Ramlah Zainudin dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) UNIMAS. -EDISI UKAS