RM15,000 Disalur Bantu Atasi Kekurangan Kemudahan St Michael Chapel Kepayang
GEDONG: Keperluan membaiki lantai, dapur dan pagar St Michael Chapel di Kampung Kepayang mendapat perhatian apabila gereja berkenaan menerima sumbangan RM15,000 bagi membiayai kerja-kerja penambahbaikan kemudahannya.
Sumbangan itu melibatkan RM5,000 daripada Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, manakala RM10,000 lagi disumbangkan Penasihat PKS, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais.
Selain bantuan berkenaan, Rodiyah turut menyarankan jawatankuasa gereja mengemukakan permohonan kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi mendapatkan bantuan tambahan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Gereja St Michael Chapel, Kampung Kepayang di Dewan Kampung Kepayang pada Sabtu.
Dalam kesempatan itu juga, beliau menyeru masyarakat agar mengekalkan hubungan baik dan semangat kerjasama tanpa mengira perbezaan agama, bangsa serta latar belakang.
Sementara itu ketika berucap dalam majlis yang sama, Dato Sri Mohd Naroden berharap sumbangan yang disalurkannya dapat membantu memenuhi keperluan gereja, sekali gus memastikan kemudahan berkenaan terus dapat dimanfaatkan oleh jemaah dan penduduk setempat.-EDISI UKAS