JTS Sri Aman Ungguli Kategori Kontinjen Unity Walk SKS 2026
SRI AMAN: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman memenangi kategori kontinjen Unity Walk sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman menerusi persembahan busana tradisional dan etnik yang melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM800.
Kontinjen Penjara Pusat Sri Aman menduduki tempat kedua dengan hadiah RM600, manakala Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Aman di tempat ketiga yang menerima RM500.
Bagi Kategori Khas, Safuan Sekawi, Najwa Sani, Kelvin Filex Randi dan Jennifer Iglesias masing-masing dipilih sebagai pemenang dengan hadiah wang tunai RM200.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh pada upacara penyampaian hadiah di Pentas Utama Program SKS 2026 Bahagian Sri Aman.
Terdahulu, kira-kira 500 peserta menyertai Unity Walk sejauh tiga kilometer yang bermula dari Kompleks Sukan Sri Aman menuju ke Pasar Raya Besar Le PaPa sebelum kembali ke kompleks berkenaan.
Pelepasan peserta disempurnakan Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee pada jam 6.45 pagi.
Penglibatan pelbagai agensi dan masyarakat dalam aktiviti berkenaan mencerminkan penyertaan komuniti dalam menjayakan pengisian SKS 2026 di samping menggalakkan amalan gaya hidup aktif. -EDISI UKAS