Pesara Tentera Tidak Sangka Bawa Pulang Perodua Bezza SKS Sri Aman 2026
SRI AMAN: Seorang pesara tentera tidak menyangka kunjungannya ke Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman membawa tuah apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama e-peraduan berupa sebuah Perodua Bezza.
Sarjan (B) Mahdi Sahari, 62, dari Kampung Hilir Sri Aman dipilih sebagai pemenang hadiah utama daripada keseluruhan 108,452 pengunjung yang menyertai e-peraduan berkenaan.
Beliau diumumkan sebagai pemenang pada Majlis Penangguhan SKS 2026 Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman pada Ahad.
Ketika ditemui media, Mahdi berkata beliau terkejut apabila melihat namanya terpampang pada skrin besar sebagai pemenang hadiah utama e-peraduan tersebut.
“Saya berasa amat terkejut apabila melihat nama saya terpampang pada skrin besar selaku pemenang hadiah utama e-peraduan.
“Ketika melangkah ke pentas untuk menerima hadiah, hati saya berasa berdebar-debar dan pada masa sama begitu gembira kerana menjadi insan paling bertuah pada Program SKS kali ini,” katanya.
Menurutnya, kemenangan tersebut merupakan satu pengalaman yang tidak pernah dijangka dan amat bermakna buat dirinya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur SKS 2026 Bahagian Sri Aman atas penganjuran program serta hadiah yang disediakan.
Selain Perodua Bezza, turut diumumkan sebagai pemenang e-peraduan ialah Raimah Zamahari yang memenangi peti ais, Caroline Daji Baer (televisyen pintar), Nur Aira Atira Sapiar (jam tangan pintar), Cyril Jawa David (peti ais), Robin Vincent (televisyen pintar), Freddy John (tablet), Albinus Nyang Leonard Libau (gelang emas 916), Abby Adila Limping Abdullah (motosikal) dan Mahani Mohamad (motosikal).
Kesemua hadiah berkenaan telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli sambil disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Hii Chang Kee, serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS