Pembangunan Dalat Cerminkan Komitmen Kerajaan Sarawak
DALAT: Pembangunan pesat di Dalat, khususnya dari segi infrastruktur dan kemudahan kediaman, mencerminkan komitmen wakil rakyat serta sokongan berterusan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perubahan ketara yang berlaku di Dalat dapat dilihat berdasarkan pengalamannya berkhidmat di kawasan berkenaan sebelum ini.
“Ini menunjukkan wakil rakyat di kawasan ini bekerja dan Kerajaan Sarawak membantu serta menyokong pembangunan ini.
“Kita perlu memilih wakil rakyat yang bekerja agar dapat terus menjaga Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Cawangan Dalat, di sini pada Ahad.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, seramai 577 penduduk Dalat menerima manfaat menerusi Program Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) sejak 2018, melibatkan peruntukan keseluruhan RM7.469 juta.
Menurutnya, seramai 1,991 penerima turut menerima bantuan pendidikan sejak 2010 bagi pelbagai peringkat pengajian termasuk sijil, diploma dan ijazah, dengan jumlah keseluruhan RM1,010,750.
Pada majlis sama, seramai 34 penerima menerima pampasan tanah berjumlah RM1,444,615.20 bagi projek Jalan Penghubung ke Kampung Tanam Seberang. -EDISI UKAS