SKS Pastikan Tiada Rakyat Tercicir Daripada Arus Pembangunan
SRI AMAN: Kerajaan Sarawak terus memperluas penyampaian perkhidmatan kepada rakyat hingga ke peringkat akar umbi menerusi pendekatan turun padang melalui Program Sarawakku Sayang (SKS).
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan negeri bukan hanya tertumpu di bandar-bandar besar, sebaliknya turut dirasai masyarakat di kawasan luar bandar.
“Kita mahu pembangunan yang berlaku di Sarawak bukan hanya tertumpu di bandar-bandar besar tetapi turut dirasai hingga ke akar umbi masyarakat, khasnya kita di Sri Aman ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Program SKS 2026 Bahagian Sri Aman di sini, pada Ahad.
Jelasnya, sebanyak 52 agensi dan jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat dengan menyediakan 170 jenis perkhidmatan meliputi aspek kesihatan, pendidikan, kebajikan dan digital.
Tambahnya, program berkenaan turut menyediakan Sarawak Pavilion yang mempamerkan pencapaian, dasar serta aspirasi pembangunan negeri, termasuk kemajuan infrastruktur jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Program SKS 2026 Bahagian Sri Aman mencatatkan kehadiran keseluruhan seramai 108,452 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Jumlah itu merangkumi 23,233 pengunjung pada hari pertama, 43,694 pada hari kedua dan 41,552 pada hari ketiga.-EDISI UKAS