Sarawak Teroka Teknologi Reverse DNN Untuk Mengesan Data Palsu
KUCHING: Sarawak sedang meneroka potensi penggunaan teknologi ‘Reverse Deep Neural Network’ (DNN) yang berupaya mengesan data palsu menerusi pemeriksaan aliran maklumat dalam sesuatu sistem.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan Reverse DNN membolehkan aliran data diperiksa bagi mengenal pasti maklumat yang telah keluar atau mengalir keluar daripada sesebuah mesin.
“Saya terbaca mengenai usaha mencari penyelesaian untuk mengesan data palsu dan berdasarkan apa yang saya baca, betul atau tidak, saya sendiri tidak pasti, memandangkan kecerdasan buatan (AI) menggunakan rangkaian neural buatan, kini terdapat perbincangan mengenai ‘reverse DNN’.
“Melalui kaedah DNN terbalik, aliran data boleh diperiksa bagi mengenal pasti data yang telah keluar atau mengalir keluar daripada sesebuah mesin.
”ni bermakna, terdapat mesin yang berupaya mengesan perkara tersebut,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) Ke-35 di Wisma Melayu, di sini pada Ahad.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, perbincangannya dengan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengenai konsep teknologi berkenaan turut menyentuh persamaan prinsipnya dengan DNA, khususnya dalam mengesan perkara yang berlaku terhadap DNA lain.
Jelas beliau, teknologi baharu yang berpotensi tersedia pada masa hadapan itu boleh membantu mengenal pasti data palsu dan seterusnya meningkatkan tahap keselamatan maklumat.
“Bagi Sarawak, kita sedang menuju ke arah itu di mana kita mesti mampu bergerak seiring dengan evolusi teknologi dan berkemungkinan menjadi pencipta teknologi.
“Kita tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata SAINS turut membangunkan penyelesaian tersendiri menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) berdaulat yang memberi penekanan terhadap perlindungan data, khususnya data kerajaan dan maklumat penting.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Wan Lizozwan Wan Omar, Pengerusi SAINS, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam, Pengerusi Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Seman dan Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir