SoftBank Teroka Peluang Pelaburan Teknologi Satelit & Kecerdasan Di Sarawak
KUCHING: Sarawak menarik minat pelabur Jepun, SoftBank untuk meneroka peluang pelaburan bernilai tinggi, khususnya dalam pembangunan kemudahan berkaitan satelit dan teknologi kecerdasan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, SoftBank telah meneliti kesesuaian lokasi bagi menempatkan kemudahan penyimpanan satelit, selain meneroka pembangunan teknologi kecerdasan yang berpotensi menghasilkan penyelesaian kepada keperluan ekonomi dunia.
“Beliau (pelabur Softbank) menjelaskan bahawa mereka telah membincangkan kesesuaian lokasi untuk menempatkan kemudahan penyimpanan satelit, selain membangunkan kecerdasan sebagai sumber penyelesaian kepada ekonomi dunia.
“Terdapat banyak lokasi lain yang boleh dipilih, namun beliau tetap memilih Sarawak. Mengapa? Kerana pendidikan percuma yang kita sediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) Ke-35, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, perkembangan ekonomi baharu pada masa hadapan akan banyak bergantung kepada keupayaan dan kemahiran rakyat, sekali gus menjadikan pembangunan modal insan berkualiti sebagai keperluan penting.
Beliau yakin Sarawak mempunyai modal insan berpotensi untuk dilatih dan dipersiapkan bagi memenuhi keperluan sektor ekonomi berasaskan teknologi.
Menurutnya, ketika banyak pihak berusaha menarik pelaburan SoftBank, Sarawak sebaliknya telah mendapat kepercayaan syarikat itu untuk meneroka pelaburan bernilai tinggi di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menghargai sumbangan SAINS sepanjang 35 tahun dalam memacu penggunaan teknologi terkini dan relevan yang terus memberi manfaat kepada Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir