SAINS Terus Jadi Rujukan Jabatan, Agensi Di Malaysia
KUCHING: Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) terus menjadi rujukan pelbagai jabatan dan agensi dalam pembangunan aplikasi digital yang selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peranan SAINS dalam pendigitalan sektor kerajaan bermula sejak pelaksanaan sistem komputer di Jabatan Tanah dan Survei ketika kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan sebagai Pengerusi.
Menurut beliau, SAINS ketika itu membangunkan aplikasi bagi menguruskan data Jabatan Tanah dan Survei yang kemudiannya menarik perhatian jabatan-jabatan lain untuk mendapatkan khidmat kepakaran syarikat berkenaan.
“Selepas kita membangunkan aplikasi untuk Mahkamah Syariah, pihak mahkamah juga menerima pakai aplikasi yang dibangunkan SAINS.
“Kini, banyak jabatan merujuk kepada SAINS untuk membangunkan aplikasi yang selaras dengan perkembangan teknologi terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) Ke-35, di sini pada Ahad.
Justeru, Datuk Patinggi Abang Zohari berharap SAINS terus memperkukuh keupayaan dalam pembangunan teknologi dan memastikan aplikasi yang dihasilkan mampu berada di hadapan berbanding pesaing lain.
Menurutnya, kemampuan rakyat Sarawak dalam bidang sains dan teknologi kini juga semakin mendapat pengiktirafan di peringkat luar.
Malah, beliau berkongsi Menteri Digital, Gobind Singh Deo pernah menyatakan keperluan untuk mempelajari perkembangan teknologi yang dilaksanakan di Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir