Sarawak Sasar Jadi Hab Perubatan Integratif Serantau
KUALA LUMPUR: Sarawak berhasrat menjadi hab perubatan integratif serantau dengan memanfaatkan kekayaan biodiversiti, keupayaan penyelidikan bioperubatan serta kepakaran klinikal bagi membangunkan ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, aspirasi itu memerlukan kerjasama strategik antara institusi penyelidikan, universiti, pengamal perubatan dan rakan industri bagi memastikan penemuan saintifik dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada masyarakat.
Menurut beliau, pembangunan ekosistem berkenaan boleh dipacu menerusi tiga bidang utama, iaitu perubatan botani berasaskan biodiversiti Sarawak, perubatan regeneratif dan inovasi bioperubatan serta genomik, epigenetik dan perubatan peribadi.
“Saya percaya bahawa Sarawak mempunyai potensi untuk membangunkan ekosistem ini melalui tiga bidang yang saling berkait, yang masing-masing menawarkan peluang untuk memajukan pemahaman saintifik, memperkukuh kepakaran tempatan serta menyumbang kepada inovasi penjagaan kesihatan pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Persidangan Antarabangsa Perubatan Integratif 2026 (IIMC 2026) di sini pada Isnin.
Mengulas mengenai perubatan botani, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, kekayaan biodiversiti Sarawak serta pengetahuan tradisional masyarakat peribumi menyediakan asas penting untuk memperluas penyelidikan terhadap tumbuhan yang berpotensi digunakan dalam bidang perubatan.
Jelas beliau, usaha itu boleh diperkukuh menerusi kerjasama antara pengamal perubatan tradisional, ahli botani, universiti, pengamal perubatan dan sektor industri bagi mengenal pasti potensi tumbuhan ubatan serta membangunkan piawaian kualiti berasaskan penyelidikan saintifik.
“Namun usaha ini perlu menghormati hak masyarakat peribumi, memelihara biodiversiti serta memastikan penyertaan dan perkongsian manfaat yang adil kepada komuniti yang terlibat,” tambahnya.
Dalam bidang genomik, epigenetik dan perubatan peribadi pula, beliau berkata, pendekatan berkenaan berpotensi memperluas penyelidikan mengenai perbezaan individu, kecenderungan terhadap penyakit serta tindak balas terhadap sesuatu intervensi kesihatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap kemajuan penyelidikan perlu dilaksanakan secara beretika dengan memberikan keutamaan kepada keselamatan data, hak individu dan akses yang saksama terhadap manfaat penyelidikan.
“Kemajuan yang dicapai mestilah disertai dengan persetujuan, pentafsiran hasil kajian secara bertanggungjawab, pengurusan data kesihatan yang selamat serta akses yang saksama terhadap manfaat penyelidikan.
“Dalam ketiga-tiga bidang ini, keyakinan masyarakat akan bergantung pada kualiti penyelidikan saintifik kita, kecekapan golongan profesional serta integriti institusi kita,” ujarnya.
Persidangan bertemakan “Collaborative Synergies: Shaping an Integrative Health Ecosystem for Medical Wellness and Salutogenesis” itu menghimpunkan 27 penceramah dari 10 negara serta lebih 350 peserta dari 13 negara dan wilayah.
Turut hadir, Presiden Persatuan Perubatan Integratif Malaysia (AIMM), Dr Janethy Balakrishnan, Pengasas Bersama Institut Perubatan Regeneratif Bersepadu (IIRM), Nils Bokström, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Pusat Pakar Perubatan Normah, Dato’ Dr Au Yong Kien Hoe serta delegasi Kementerian AYUSH, Kerajaan India.-EDISI UKAS