Sarawak Regional Governance Leadership Programme 2026 Wajar Jadi Contoh Kepada Wilayah Lain
KUCHING: Penganjuran Sarawak Regional Governance Leadership Programme 2026 wajar dijadikan model kepada wilayah lain di seluruh dunia dalam usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus baik.
Dekan dan Setiausaha Eksekutif Akademi Antirasuah Antarabangsa atau International Anti-Corruption Academy (IACA), Drago Kos berkata, program itu mencerminkan kesungguhan Sarawak untuk terus meningkatkan amalan tadbir urus baik melalui perkongsian pengalaman dan kerjasama antara pihak berkaitan.
“Saya fikir inisiatif ini wajar dijadikan contoh kepada banyak wilayah lain, bukan sahaja di Malaysia, malah di Asia dan seluruh dunia.
“Pada masa ini, kita berada dalam keadaan yang agak membimbangkan apabila negara-negara dunia tidak lagi menunjukkan minat yang sama seperti dahulu dalam memperkukuh integriti.
“Justeru, inisiatif seperti ini wajar dijadikan model untuk dicontohi di seluruh dunia. Saya amat berharap agar program seumpama ini dapat diperluas ke lebih banyak tempat di seluruh dunia kerana Sarawak kini telah menunjukkan satu contoh yang baik untuk diikuti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas terlibat sebagai penceramah dalam Program Kepimpinan Tadbir Urus Serantau (SRGLP) 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Drago turut menekankan kepentingan tadbir urus baik yang perlu menjadi sebahagian daripada amalan harian setiap institusi dan organisasi, dengan setiap keputusan dibuat secara berkesan, cekap serta berintegriti.
Katanya, negara yang mengamalkan tadbir urus baik berupaya mencapai pembangunan dengan lebih pantas dan kos yang lebih rendah, selain membina kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Beliau berkata, IACA menyambut baik kesungguhan Sarawak untuk terus memberi perhatian kepada aspek integriti, tadbir urus baik dan usaha memerangi rasuah.-EDISI UKAS