Sarawak Jadi Contoh Perkukuh Integriti Sektor Awam
KUCHING: Pendekatan Sarawak dalam memperkukuh integriti sektor awam menerusi pelaksanaan inisiatif konkrit wajar dicontohi oleh negeri dan negara lain.
Penasihat Kanan Akademi Antirasuah Antarabangsa atau International Anti-Corruption Academy (IACA), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, usaha Sarawak dalam aspek berkenaan bukan sekadar dizahirkan melalui slogan, sebaliknya diterjemahkan menerusi langkah yang memberi kesan kepada penjawat awam dan masyarakat.
“Usaha yang dilaksanakan Sarawak boleh dijadikan contoh kepada negeri dan negara lain kerana Sarawak bukan sekadar mengemukakan slogan, sebaliknya melaksanakan langkah konkrit yang memberi impak kepada masyarakat dan penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa terlibat sebagai penceramah dalam Sarawak Regional Governance Leadership Programme 2026 di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Menurut Tan Sri Abu Kassim, penempatan pegawai integriti di kebanyakan agensi kerajaan merupakan antara langkah awal yang paling penting dalam memperkukuh integriti perkhidmatan awam.
Beliau turut menyifatkan pengenalan penggunaan kecerdasan buatan dalam latihan pegawai integriti menerusi Sarawak Regional Governance Leadership Programme 2026 sebagai pendekatan semasa dalam usaha memerangi rasuah.
Jelasnya, penganjuran program itu sebagai langkah penting kerana Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia yang menjemput institusi latihan antirasuah antarabangsa untuk berkongsi pengalaman dan hasil penyelidikan berkaitan usaha memerangi rasuah.-EDISI UKAS