Kejayaan Akademik Permulaan Tanggungjawab Lebih Besar
KOTA SAMARAHAN: Kejayaan akademik yang diraih graduan bukanlah kemuncak pencapaian, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk menyumbang kepada masyarakat melalui ilmu, integriti dan keperibadian yang baik.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, graduan perlu membuktikan nilai pendidikan yang diperoleh bukan sahaja melalui kelulusan akademik, tetapi juga keupayaan menyelesaikan masalah serta sumbangan kepada orang lain.
Menurut beliau, ilmu yang dipelajari di universiti seharusnya menjadi asas kepada pembentukan pemikiran matang, pertimbangan bijaksana dan keupayaan membuat keputusan yang tepat ketika berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
“Pada masa hadapan, masyarakat akan menilai saudara dan saudari bukan semata-mata berdasarkan kelulusan akademik, tetapi melalui keperibadian, integriti, kebolehan menyelesaikan masalah serta sumbangan yang diberikan kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Ke-30 UNIMAS di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), UNIMAS, pada Isnin.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut mengingatkan graduan agar tidak melupakan pengorbanan ibu bapa, ahli keluarga, para pendidik dan semua pihak yang membantu mereka mencapai kejayaan.
Menurutnya, kejayaan yang diraikan bukan milik graduan semata-mata, sebaliknya turut menjadi kejayaan keluarga dan semua pihak yang menyumbang kepada perjalanan mereka menuntut ilmu.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan keluarga atas sokongan, kasih sayang, doa serta pengorbanan yang menjadi sebahagian penting dalam perjalanan pendidikan graduan.
Beliau turut menasihati graduan supaya sentiasa mengenang jasa insan yang membantu mereka, selain tidak melupakan asal usul walau setinggi mana pun kedudukan yang dicapai pada masa hadapan.
Sidang Pertama itu turut dihadiri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Ahli Jawatankuasa Eksekutif UNIMAS, Timbalan-Timbalan Naib Canselor serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Universiti. -EDISI UKAS