Datuk Dr Mohammad Razi Genggam PhD Sistem Maklumat Geografi & Penderiaan Jarak Jauh
KOTA SAMARAHAN: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sistem Maklumat Geografi dan Penderiaan Jarak Jauh pada Istiadat Konvokesyen Ke-30 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Ijazah berkenaan disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UNIMAS, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam istiadat yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), UNIMAS pada Isnin.
Penyelidikan beliau dalam bidang berkenaan diselia oleh Profesor Gs. Dr. Tarmili Masron.
Penganugerahan tersebut merupakan satu pencapaian akademik bagi Datuk Dr Mohammad Razi dalam bidang pengkhususan berkenaan, sekali gus melengkapkan pengajian beliau di peringkat kedoktoran.
Sidang pertama itu menyaksikan seramai 173 graduan menerima ijazah kedoktoran, selain penyampaian anugerah akademik utama universiti, termasuk Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor dan Anugerah Pro Canselor.
Secara keseluruhan, Istiadat Konvokesyen Ke-30 UNIMAS berlangsung selama empat hari, dari 2 hingga 5 November 2026, melibatkan lapan sidang dengan penyertaan seramai 4,428 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian. -EDISI UKAS