UNIMAS Perkasa Bakat Tempatan, Majukan Ekonomi Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam memacu ekonomi masa hadapan Sarawak melalui pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, penyelidikan dan inovasi teknologi.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UNIMAS, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penguasaan ilmu dan teknologi penting bagi memastikan kekayaan sumber negeri dapat dimanfaatkan untuk menjana nilai tambah serta membuka peluang ekonomi baharu.
“Kekayaan sumber asli semata-mata tidak akan menjamin kemajuan Sarawak pada masa hadapan.
"Sebaliknya, kemajuan itu akan ditentukan oleh sejauh mana kita mampu menguasai ilmu, membangunkan teknologi dan melahirkan modal insan yang berkeupayaan menambah nilai kepada sumber yang kita miliki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Ke-30 UNIMAS di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), UNIMAS, pada Isnin.
Menurut Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi, sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi semikonduktor, kecerdasan buatan dan ekonomi digital membuka peluang kepada generasi muda untuk membina kepakaran serta menerajui industri berteknologi tinggi.
Sehubungan itu, beliau menyeru pelajar dan graduan supaya melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran yang relevan, termasuk melalui latihan profesional dan pembelajaran berterusan.
“Kita tidak boleh hanya melahirkan graduan untuk memenuhi keperluan ekonomi hari ini.
"Kita perlu melahirkan generasi yang mampu menjangka perubahan, menguasai ilmu baharu dan membentuk ekonomi masa hadapan,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan harapan agar UNIMAS terus memperkukuh program akademik, penyelidikan dan kerjasama dengan kerajaan serta industri bagi melahirkan bakat tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Sidang Pertama itu turut dihadiri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Ahli Jawatankuasa Eksekutif UNIMAS, Timbalan-Timbalan Naib Canselor serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Universiti. -EDISI UKAS