Sarawak Perkukuh Kerjasama Antarabangsa Dalam Penyelidikan, Pembangunan Bakat Perubatan
KUALA LUMPUR: Sarawak mahu memperluas kerjasama antarabangsa dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan latihan profesional bagi melahirkan lebih ramai pakar tempatan serta memperkukuh keupayaan sektor penjagaan kesihatan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha itu penting bagi membangunkan ekosistem penjagaan kesihatan yang berdaya saing menerusi kerjasama strategik antara universiti, pengamal perubatan, makmal penyelidikan, institusi awam dan rakan industri.
Menurut beliau, penglibatan pelbagai pihak mampu mempercepat usaha menterjemahkan penemuan saintifik kepada aplikasi praktikal yang memberikan manfaat kepada pesakit dan masyarakat.
“Penyertaan komuniti tempatan juga sama pentingnya. Bagi Sarawak, visi ini seharusnya turut membuka peluang kepada golongan muda untuk membangunkan kepakaran dalam bidang sains bioperubatan, penyelidikan botani, genomik, penyelidikan klinikal dan profesion berkaitan.
“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan dialog antara institusi dan pakar yang hadir di sini berhubung potensi kerjasama dengan Sarawak dalam bidang penyelidikan, pendidikan, latihan profesional dan pertukaran ilmu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Persidangan Antarabangsa Perubatan Integratif 2026 (IIMC 2026) di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, pembangunan modal insan dalam bidang perubatan dan penyelidikan khusus perlu diberikan penekanan bagi memastikan Sarawak mempunyai tenaga profesional tempatan yang berkemahiran tinggi.
Jelas beliau, pendedahan kepada kepakaran antarabangsa serta peluang latihan dan penyelidikan bersama mampu membuka laluan kerjaya lebih luas kepada golongan muda Sarawak, khususnya dalam bidang sains bioperubatan, penyelidikan botani, genomik dan penyelidikan klinikal.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerjasama penyelidikan yang berjaya membuktikan aspek keselamatan, keberkesanan dan nilai praktikal turut berpotensi membuka peluang pengkomersialan secara bertanggungjawab, sekali gus menyokong pertumbuhan perusahaan tempatan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pakar serta institusi antarabangsa yang menyertai persidangan berkenaan supaya meneroka peluang kerjasama dengan Sarawak, khususnya dalam perkongsian pengetahuan, pembangunan kepakaran, latihan profesional dan penyelidikan bersama.-EDISI UKAS