Sarawak Salur Tambahan RM1.51 Juta Tingkat Pengeluaran Padi di Gedong
BINTULU: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.51 juta bagi memperkukuh pelaksanaan projek Sandbox Gedong menerusi penggunaan teknologi pertanian pintar dalam usaha meningkatkan produktiviti dan hasil pengeluaran padi di negeri ini.
Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata peruntukan itu disalurkan bagi meneruskan projek AgriHub@Gedong melalui kerjasama UPM Sarawak (UPMS) dan Putra Science Park.
Menurutnya, projek Sandbox Gedong menggabungkan pelbagai teknologi pertanian serta hasil penyelidikan universiti yang terbukti berkesan bagi mengoptimumkan hasil pengeluaran padi.
“Sandbox Gedong merupakan program pemindahan teknologi UPM ke Gedong dengan menggabungkan pelbagai inovasi serta produk penyelidikan yang telah terbukti berkesan bagi mengoptimumkan hasil pengeluaran padi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 1 di Dewan Sri Kenyalang, UPMS pada Isnin.
Tan Sri Peter Chin memberitahu, pelaksanaan inisiatif itu turut menyokong agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam membangunkan sektor pertanian berasaskan inovasi dan teknologi, memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, UPMS memainkan peranan penting sebagai Wadah Keterjaminan Makanan Borneo dengan memanfaatkan kekayaan sumber, kepelbagaian komuniti serta potensi pembangunan Sarawak bagi menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau turut menghargai usaha pasukan projek AgriHub@Gedong yang diketuai Pengarah UPMS, Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
Pada majlis sama, UPMS buat julung kalinya memperkenalkan Anugerah Pingat Emas Alumni khusus kepada graduan diploma dengan tajaan Persatuan Alumni UPM sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan kecemerlangan graduan secara menyeluruh.
Beliau berharap pengenalan anugerah itu dapat menyemai rasa bangga dalam kalangan graduan, selain mengukuhkan hubungan berterusan antara alumni dengan universiti.
Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 1 yang berlangsung selama dua hari bermula 2 November itu turut menandakan penganjuran istiadat konvokesyen di UPMS buat kali kelima.
Daripada keseluruhan 619 graduan yang diraikan, seramai 21 menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 21 Sarjana, 100 Bacelor dan 477 Diploma dalam pelbagai bidang pengajian.-EDISI UKAS