UTS, MPS berganding tenaga jadikan Sibu bandar mesra warga emas
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan Pelan Tindakan Bandar dan Komuniti Mesra Usia (AFCC) untuk Sibu.
Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di kampus UTS di sini pada Isnin, yang membuka ruang kepada kerjasama jangka panjang dalam menangani cabaran sosial mendesak susulan peningkatan populasi warga emas.
Naib Canselor UTS, Prof Ir Ts Dr Mohammad Shahril Osman berkata, usaha mewujudkan komuniti mesra usia bukan sekadar menyediakan perkhidmatan kepada golongan warga emas.
“Komuniti mesra usia bukan hanya mengenai penyediaan perkhidmatan kepada warga emas, tetapi juga mewujudkan persekitaran yang membolehkan mereka kekal aktif, berdikari, selamat dan terus berhubung dengan komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Beliau menegaskan bahawa sektor utama termasuk pengangkutan, perumahan, penjagaan kesihatan, penyertaan sosial, komunikasi, sokongan komuniti serta aksesibiliti secara keseluruhan perlu memainkan peranan secara bersepadu.
Prof Ir Ts Dr Mohammad Shahril berkata, UTS berbesar hati dapat menyumbang kepakaran penyelidikan dan sumber akademiknya bagi menyokong inisiatif AFCC yang diterajui MPS, dalam usaha memastikan penyelesaian yang dilaksanakan berasaskan bukti dan memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Kami berharap kerjasama ini membolehkan kita memahami dengan lebih baik keperluan dan pengalaman warga emas di Sibu dan, lebih penting, menterjemahkan hasil penyelidikan kepada tindakan praktikal serta memberi manfaat yang bermakna,” katanya.
Menekankan kepentingan tindakan secara kolektif, Prof Ir Ts Dr Mohammad Shahril berkata kejayaan inisiatif itu banyak bergantung kepada pendekatan menyeluruh yang melibatkan agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, perniagaan tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), keluarga dan warga emas sendiri.
Sementara itu, Pengerusi MPS, Kaunselor Clarence Ting Ing Horh merakamkan penghargaan kepada UTS atas kesediaan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam membentuk sebuah bandar yang responsif terhadap keperluan semua peringkat umur dan keupayaan fizikal.
Beliau berkata, peningkatan populasi warga emas merupakan trend global dan Sibu perlu mengambil langkah proaktif menyesuaikan kemudahan jalan raya, ruang awam, rangkaian pengangkutan serta kemudahan komuniti.
“Bagi Majlis Perbandaran Sibu, menjadi bandar mesra usia bukan sekadar menyediakan kemudahan khusus untuk warga emas.
“Sebaliknya, ia adalah mengenai mewujudkan persekitaran yang membolehkan masyarakat terus menjalani kehidupan dengan selamat, bergerak dengan yakin, mengekalkan hubungan sosial dan mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan seiring dengan peningkatan usia,” katanya.
Beliau menggariskan lima keutamaan utama di bawah pelan tindakan itu, iaitu keselamatan fizikal, teknologi bandar pintar yang berteraskan keperluan manusia, sokongan pemulihan dan penuaan sihat, mewujudkan masyarakat yang inklusif terhadap penghidap demensia serta memanfaatkan kepakaran akademik.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTS Prof. Dr. Mohd Zainal Munshid Harun, Setiausaha MPS Henry Jalin Watt, Penolong Setiausaha Kanan MPS Teng Ming Min, Pendaftar UTS Jimmy De Rozario dan Bendahari UTS Dr. Rabuan Mantine.-EDISI UKAS