Datuk Dr. Mohammad Razi Serah Pencalonan Kepada Kepimpinan Parti
KOTA SAMARAHAN: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Dr Mohammad Razi Sitam menyerahkan keputusan mengenai pencalonan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 yang akan datang kepada kepimpinan parti.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti itu berkata, sekiranya masih diberi peluang untuk terus berkhidmat, beliau bersedia meneruskan tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan Sarawak.
“Kalau masih diberi peluang, saya akan terus berkhidmat demi rakyat dan demi Sarawak, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah Doktor Falsafah (PhD) dalam Istiadat Konvokesyen Ke-30 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), UNIMAS pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Dr Mohammad Razi memberitahu, pembangunan di kawasan luar bandar Saribas menunjukkan perubahan ketara sepanjang kira-kira 15 tahun beliau mewakili kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini hanya kira-kira 40 peratus kawasan berkenaan mempunyai akses jalan raya dan bekalan air, namun kebanyakan kampung serta rumah panjang kini telah dihubungkan melalui jaringan jalan raya dan menerima kemudahan bekalan air.
Katanya, menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), kawasan berkenaan menerima kira-kira RM200 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk infrastruktur dan sosioekonomi.
Selain itu, peruntukan alternatif berjumlah kira-kira RM130 juta turut diperoleh bagi pembangunan agropark yang bakal menjadi pemangkin kepada sektor pertanian di kawasan berkenaan.
“Pembangunan jambatan termasuk Jambatan Batang Lupar serta kemudahan lain di kawasan Betong juga berpotensi menjadi nilai tambah kepada perancangan pembangunan, khususnya dalam memperkukuh sektor pertanian dan ekonomi setempat,” jelas beliau. -EDISI UKAS