BIF 2026 Angkat Warisan 12 Etnik Borneo Ke Pentas Antarabangsa
KUCHING: Keunikan warisan seni dan budaya 12 kumpulan etnik Borneo bakal diketengahkan menerusi Borneo Indigenous Festival (BIF) 2026 yang berlangsung dari 12 hingga 15 November ini di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) Kuching sekali gus memperluas peluang mempromosikan kepelbagaian budaya Sarawak kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran festival itu bukan sekadar meraikan kepelbagaian budaya, malah menjadi platform strategik untuk memperkasakan industri kreatif, menjana pendapatan penggiat seni serta memperkukuh daya tarikan pelancongan negeri.
Menurutnya, Sarawak yang mempunyai 34 kumpulan etnik memiliki khazanah warisan budaya yang perlu terus dipelihara, diketengahkan dan dikembangkan supaya setiap komuniti berpeluang memperkenalkan identiti serta keunikan masing-masing.
“Di Sarawak kita mempunyai 34 suku kaum. Saya tidak mahu melihat industri kreatif hanya melibatkan masyarakat Melayu sahaja, masyarakat Iban sahaja atau masyarakat Orang Ulu sahaja.
“Kita mahu setiap suku kaum, termasuk masyarakat Cina, merasakan bahawa Sarawak ini milik mereka dan terdapat usaha daripada kementerian serta Majlis Seni Sarawak untuk mengangkat industri kreatif ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Beliau menambah, BIF 2026 turut berperanan sebagai medan pertemuan masyarakat pelbagai etnik, penggiat seni, pengamal budaya, institusi pendidikan dan komuniti kreatif untuk berkongsi pengetahuan, memperluas jaringan kerjasama serta memastikan kesinambungan warisan budaya kepada generasi akan datang.
Tegasnya, khazanah budaya masyarakat pribumi tidak seharusnya hanya tertumpu di kawasan penempatan asal, sebaliknya perlu diperkenalkan secara lebih meluas, khususnya kepada generasi muda dan pelancong antarabangsa.
“Kita tidak mahu warisan budaya ini hanya dapat dilihat di rumah panjang kerana bukan semua orang berpeluang pergi ke rumah panjang.
“Sekali-sekala kita perlu membawa warisan ini ke bandar supaya masyarakat luar dan pelancong dapat melihat sendiri keunikan serta kepelbagaian budaya masyarakat kita,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata, industri seni, budaya dan kraftangan mempunyai potensi ekonomi yang besar sekiranya dimanfaatkan melalui penganjuran festival, aktiviti pemasaran serta pembangunan produk kreatif tempatan.
Sebagai contoh, katanya, jualan kraftangan sempena festival yang diadakan bersempena Regata Sarawak tahun lalu berjaya mencecah RM2.4 juta dalam tempoh seminggu.
Pencapaian itu, menurutnya, membuktikan bahawa warisan budaya bukan sahaja bernilai dari sudut identiti dan sejarah, malah mampu menjadi sumber pendapatan serta membuka peluang ekonomi kepada penggiat seni dan usahawan tempatan.
“Melalui program yang melibatkan jualan dan pemasaran kraftangan, kesenian serta makanan, kita berharap ia dapat memberikan lebih banyak ruang kepada penggiat seni dan usahawan tempatan untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Sementara itu, BIF 2026 bakal menampilkan tujuh pengisian utama iaitu Sidang Keilmuan, Echoes of Borneo, Festival Tarian dan Lagu Melayu Asli Kali Ke-36 (FTLA), Ngelakar Seni Premium, Ruai Sarawak, Mini Show dan Market Seni.
Antara tarikan utama ialah Ruai Sarawak yang menghimpunkan 12 persatuan etnik menerusi pameran adat resam, pakaian tradisional, kraftangan, makanan serta identiti budaya masyarakat masing-masing.
Festival kali ini turut memberikan penekanan kepada keunikan warisan masyarakat Iban menerusi pameran lima variasi busana tradisional, iaitu Batang Ai, Batang Rajang, Iban Kapuas, Iban Seribas dan Iban Sebuyau.
Selain itu, persembahan Echoes of Borneo pada 13 November bakal menggabungkan kesenian Sarawak dan Borneo dengan penyertaan kumpulan dari Indonesia, Sabah dan Labuan, sekali gus membuka ruang pertukaran budaya serantau.
FTLA pula dijadual berlangsung pada 14 hingga 15 November dengan penyertaan 10 kumpulan finalis kategori tarian serta 14 finalis bagi kategori nyanyian lagu Melayu asli lelaki dan wanita.
Johan kategori tarian bakal menerima hadiah wang tunai RM10,000, manakala pemenang kategori nyanyian akan membawa pulang RM3,500.
Penganjur turut mencadangkan penampilan penyanyi terkenal Hael Husaini dan Ara Johari bagi memeriahkan festival berkenaan.
Sehubungan itu, Abdul Karim mengalu-alukan kehadiran masyarakat Sarawak serta pengunjung dari Kalimantan, Brunei, Semenanjung Malaysia dan Singapura untuk menyaksikan sendiri kepelbagaian warisan budaya Borneo sepanjang empat hari penganjuran festival tersebut.
BIF 2026 dianjurkan oleh Majlis Seni Sarawak dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, persatuan etnik, institusi pendidikan dan rakan strategik.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Morshidi Frederic dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Dr Suffian Jalet.-EDISI UKAS