Datuk Dr. Mohammad Razi Raih PhD, Kajian Corak Ruang 12 Pilihan Raya Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Kajian menyeluruh mengenai corak ruang pilihan raya Sarawak melibatkan 12 pilihan raya sepanjang lima dekad menjadi antara pencapaian akademik Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam membolehkan beliau kini menyandang gelaran Doktor Falsafah.
Beliau dianugerahkan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sistem Maklumat Geografi dan Penderiaan Jauh dalam Istiadat Konvokesyen Ke-30 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), UNIMAS pada Isnin.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen, Datuk Dr. Mohammad Razi berkata, kajian berkenaan menggunakan data keputusan pilihan raya daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memberi tumpuan kepada pemetaan serta perubahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sarawak.
Ujarnya, kajian tersebut mempunyai skop yang luas berbanding kebanyakan penyelidikan politik sebelum ini yang lazimnya tertumpu kepada satu atau dua kawasan DUN atau kawasan Parlimen tertentu.
“Ini merupakan kajian yang menyeluruh melibatkan ruang yang sangat luas, merangkumi 12 pilihan raya dari tahun 1969 hingga 2021. Kita melihat corak ruang pilihan raya Sarawak sepanjang lima dekad,” katanya.
Menurutnya, antara cabaran utama sepanjang menjalankan penyelidikan itu ialah mendapatkan data sejarah pilihan raya kerana pihak SPR tidak membenarkan data berkenaan dibawa keluar dari pejabatnya.
Justeru, beliau terpaksa berulang kali mengunjungi pejabat SPR untuk mengumpul dan menyusun data berkenaan sebelum menjalankan analisis.
Katanya, idea untuk melaksanakan kajian itu turut berkembang ketika tempoh pandemik COVID-19 apabila beliau mempunyai lebih banyak masa untuk membaca, meneliti bahan rujukan dan berbincang dengan beberapa pensyarah UNIMAS.
Hasil perbincangan tersebut membawa kepada penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) bagi menghasilkan pemetaan kawasan DUN serta meneliti perubahan corak pilihan raya dari satu tempoh ke tempoh yang lain.
Ujarnya lagi, kajian itu turut merangkumi beberapa aspek termasuk teori kejiranan antara kawasan DUN, hubungan kawasan yang mempunyai parti politik sama serta perbezaan corak pengundian berdasarkan faktor jantina dan kawasan bandar serta luar bandar.
Jelasnya, penyelidikan itu berpotensi menjadi asas kepada pembangunan satu sistem yang lebih tersusun bagi menyatukan data keputusan pilihan raya Sarawak sejak 1969 untuk kegunaan penyelidik, ahli politik dan parti politik.
“Daripada kajian ini, kita melihat data-data daripada 12 pilihan raya sepanjang lima dekad boleh diselaraskan dalam satu sistem yang lebih sistematik dan teratur. Ia boleh menjadi asas kepada kajian lanjutan atau pembangunan sistem yang boleh dimanfaatkan oleh pihak berkaitan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kajian berkenaan mendapat maklum balas positif daripada penilai yang menyifatkannya sebagai satu hasil penyelidikan istimewa kerana skop kajian yang luas dan belum pernah dilaksanakan dalam bentuk sedemikian sebelum ini.
Datuk Dr Mohamad Razi memberitahu, hasil penyelidikan itu kini dalam proses untuk dibukukan bagi membolehkan dapatan kajian berkenaan dirujuk dengan lebih meluas. -EDISI UKAS