Sankyu Inc. Sokong Usaha Sarawak Pulih Hutan, Biodiversiti
SIMUNJAN: Syarikat Jepun, Sankyu Inc. komited menanam sebanyak 20,000 pokok di Sarawak dalam tempoh 10 tahun bermula tahun ini hingga 2035 bagi menyokong usaha pemulihan hutan hujan tropika dan pemuliharaan biodiversiti negeri ini.
Komitmen itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak (FDS) dan Japan-Malaysia Association (JMA), dengan program penanaman pokok di Hutan Simpan Sabal menyaksikan sebanyak 1,000 anak pokok spesies tempatan ditanam, di sini, hari ini.
Program berkenaan melibatkan kira-kira 80 peserta termasuk wakil Jepun, pegawai FDS, sukarelawan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta komuniti setempat.
Kerjasama FDS dan JMA yang bermula sejak 1995 itu telah menyokong pelbagai inisiatif pemulihan hutan di Sarawak, khususnya menerusi penanaman spesies pokok tempatan dan pemulihan ekosistem hutan.
Inisiatif berkenaan turut menyokong agenda kelestarian alam sekitar Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), selain menyumbang kepada sasaran penanaman 50 juta pokok di negeri ini dari 2026 hingga 2030 menerusi inisiatif Greening Malaysia 2.0.-EDISI UKAS