Dato Sri Abdul Karim Santuni Keluarga Dua Kakitangan MSS
KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah meluangkan masa menyantuni keluarga dua kakitangan Majlis Seni Sarawak (MSS) yang telah meninggal dunia untuk menyampaikan sumbangan khairat serta manfaat perlindungan insurans.
Dua kakitangan berkenaan ialah Allahyarham Mohamad Arawi Mat Nor yang meninggal dunia pada 27 Oktober 2026 pada usia 45 tahun dan Allahyarham Sulaiman Tuah yang meninggal dunia pada 11 Oktober 2026 pada usia 54 tahun.
Selain sumbangan khairat peribadi berjumlah RM500 kepada setiap kedua-dua keluarga Allahyarham, mereka turut menerima manfaat perlindungan insurans di bawah skim Group Hospital & Surgical (GHS) Insurance berjumlah RM5,000 bagi setiap keluarga untuk menampung perbelanjaan pengurusan jenazah.
Pihak MSS turut menguruskan pembayaran emolumen bagi tempoh 1 hingga 10 Oktober 2026 berjumlah RM1,416.98 kepada keluarga Allahyarham Sulaiman, tertakluk kepada tatacara kewangan dan peraturan yang berkuat kuasa.
Dato Sri Abdul Karim berkata, sumbangan berkenaan merupakan tanda penghargaan terhadap jasa dan khidmat bakti kedua-dua Allahyarham kepada organisasi serta pembangunan kesenian dan kebudayaan Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga MSS yang bersama-sama menghulurkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda keprihatinan dan semangat kebersamaan sesama warga kerja.
Kedua-dua Allahyarham memulakan perkhidmatan sebagai kakitangan Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) pada 3 Januari 2011 di bawah Unit Pembangunan Kebudayaan, Jabatan Ketua Menteri Sarawak sebelum meneruskan khidmat bersama MSS.
Dato Sri Abdul Karim berharap sumbangan dan manfaat yang disalurkan dapat membantu meringankan beban keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh kedua-duanya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.-EDISI UKAS