KRT Desa Pujut 2 Digesa Aktifkan Aktiviti Kemasyarakatan, Perkukuh Keselamatan Kejiranan
MIRI: Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) disaran mempergiat aktiviti kemasyarakatan bagi mengeratkan hubungan kejiranan, meningkatkan keselamatan kawasan perumahan serta memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata penubuhan KRT tidak seharusnya sekadar memenuhi keperluan organisasi, sebaliknya perlu disusuli dengan pelaksanaan program yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
Katanya, hubungan kejiranan yang erat amat penting kerana jiran merupakan antara individu terdekat yang boleh memberikan bantuan apabila berlaku kecemasan atau ketika seseorang berdepan kesukaran.
“Jiran itu penting kerana mereka merupakan orang yang paling dekat dengan kita. Apabila berlaku kecemasan, jiranlah antara individu yang boleh datang membantu dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian KRT Desa Pujut 2 di Southlake Permyjaya, di sini, pada Ahad.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti termasuk program sosial, sambutan perayaan dan kegiatan kemasyarakatan boleh dianjurkan bagi memberi peluang kepada penduduk saling mengenali tanpa mengira latar belakang kaum.
Dalam aspek keselamatan, beliau berkata KRT juga boleh menjalinkan kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi meningkatkan pemantauan di kawasan perumahan.
Beliau mengambil contoh rondaan anggota RELA di Permyjaya yang membantu memantau keadaan kawasan perumahan pada waktu malam sehingga awal pagi.
Menurutnya, kerjasama antara penduduk, KRT dan agensi keselamatan penting bagi memastikan persekitaran kediaman lebih selamat, selain membolehkan sebarang permasalahan dikenal pasti dan ditangani dengan lebih berkesan.-EDISI UKAS