KUCHING: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), data raya dan data terbuka berupaya memperkukuh usaha pencegahan rasuah menerusi peningkatan pemantauan serta pengesanan awal risiko dalam institusi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan teknologi dan peningkatan tuntutan terhadap ketelusan memerlukan institusi memperkukuh keupayaan pencegahan bagi menangani risiko tadbir urus yang semakin kompleks.
“Teknologi ini dapat membantu mengenal pasti corak luar biasa, meningkatkan pemantauan, menyokong keputusan berasaskan bukti serta memberi tumpuan kepada bidang yang berpotensi terdedah kepada risiko,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis perasmian Regional Governance Leadership Programme 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Bagaimanapun, Premier Sarawak menegaskan teknologi tidak boleh menggantikan integriti dan pertimbangan profesional, sebaliknya penggunaannya perlu disokong data yang boleh dipercayai, pengawasan manusia serta akauntabiliti.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kawalan asas institusi termasuk perolehan yang telus, pengurusan kewangan bertanggungjawab, dokumentasi teratur dan saluran pelaporan berkesan bagi mencegah salah laku.
Justeru, katanya, usaha pencegahan perlu dijadikan sebahagian daripada amalan harian institusi dan tidak hanya bergantung kepada siasatan serta tindakan pembetulan selepas berlakunya salah laku.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya, Dekan International Anti-Corruption Academy (IACA) Drago Kos, Ahli Lembaga Penasihat Kanan Antarabangsa IACA Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) Wan Mohamad Wan Drahman, Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) Joseph Lim Jit Sek serta ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir