UNIONS-IACA Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Bidang Integriti
KUCHING: Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) dengan International Anti-Corruption Academy (IACA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan kapasiti, pertukaran pengetahuan dan pembangunan profesional bidang integriti.
MoU itu dimeterai oleh Dekan IACA Drago Kos dan Pengarah UNIONS Wan Mohamad Wan Drahman, dengan disaksikan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Premier Sarawak.
Turut menyaksikan pemeteraian itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Ahli Lembaga Penasihat Kanan Antarabangsa IACA Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua serta Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) Joseph Lim Jit Sek.
Datuk Dr. Juanda berkata, kerjasama itu menyediakan asas untuk memperluas pendedahan penjawat awam Sarawak kepada kepakaran serta amalan terbaik antarabangsa dalam bidang integriti dan tadbir urus.
“Pemeteraian memorandum persefahaman antara UNIONS dengan IACA akan menyediakan asas bagi kerjasama dalam pembangunan kapasiti, pertukaran pengetahuan dan pembangunan profesional,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, kerjasama itu turut membuka peluang untuk meneroka penyertaan penjawat awam Sarawak, khususnya Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO), dalam program IACA Regional Summer Academy di luar negara, tertakluk kepada peraturan berkaitan.
Beliau berharap kerjasama berkenaan dapat memperluas pengetahuan dan pengalaman pegawai integriti, sekali gus meningkatkan profesionalisme serta memperkukuh amalan tadbir urus dalam perkhidmatan awam Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir