KPWK, JSJ Perkukuh Kerjasama Tangani Jenayah Terhadap Wanita & Kanak-Kanak
KUCHING: Kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus diperkukuh bagi meningkatkan usaha pencegahan jenayah serta memastikan perlindungan lebih menyeluruh kepada wanita dan kanak-kanak di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini adalah bagi menangani pelbagai isu sosial yang mempunyai kaitan rapat dengan aspek keselamatan dan jenayah, termasuk keganasan rumah tangga, penderaan serta eksploitasi seksual kanak-kanak.
“Berdasarkan statistik PDRM, Sarawak merekodkan 535 kes keganasan rumah tangga, 51 kes penderaan kanak-kanak, 151 kes rogol, 31 kes sumbang mahram, 29 kes cabul, empat kes pembuangan bayi serta 100 kes di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) sepanjang 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Kumarasan Muniandy bersama delegasi, di sini, pada Isnin.
Jelas Dato Sri Fatimah, usaha menangani isu berkenaan tidak boleh hanya tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan selepas sesuatu jenayah berlaku, sebaliknya perlu disokong pendekatan pencegahan, pendidikan masyarakat, pengesanan awal dan intervensi sosial.
Dalam aspek perlindungan mangsa, beliau berkata perkhidmatan One Stop Crisis Centre (OSCC) di hospital kerajaan merupakan antara mekanisme penting dalam memastikan pengendalian kes keganasan dan penderaan dilaksanakan secara bersepadu.
Beliau turut menegaskan kepentingan penglibatan masyarakat dalam menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang kejadian yang menimbulkan kebimbangan, tanpa mengabaikan aspek kerahsiaan, keselamatan dan maruah mangsa.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus serta Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam.-EDISI UKAS