Kerajaan Sarawak Sokong Pesta Budaya Saban di Long Banga
MIRI: Kerajaan Sarawak menyokong penganjuran Pesta Apu Taam Mueng edisi kedua menerusi peruntukan RM25,000 bagi membantu masyarakat Saban menjayakan pesta kebudayaan itu di Long Banga, Baram, dari 19 hingga 21 Disember ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) itu disediakan bagi membantu Persatuan Masyarakat Saban Sarawak (PMSS) membuat persiapan dan melaksanakan program sepanjang pesta berkenaan.
“Sokongan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi merupakan pengiktirafan terhadap usaha masyarakat Saban untuk memelihara warisan budaya, memperkukuh perpaduan komuniti dan memastikan kesinambungan penganjuran pesta ini pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal PMSS sempena persiapan Pesta Apu Taam Mueng 2026 di Miri pada Ahad.
Menurut Datuk Gerawat, seperti persatuan Orang Ulu lain di bawah naungan FORUM, PMSS mempunyai pesta kebudayaan sendiri untuk mengetengahkan adat dan tradisi masyarakat Saban.
Beliau mengalu-alukan penyertaan penduduk dari Long Banga, Bario dan Kelapang bagi mengeratkan hubungan antara kampung.
“Saya berharap golongan muda diberi peluang menyertai persembahan tradisional dan pameran warisan supaya mereka lebih mengenali budaya sendiri,” katanya.
Beliau menambah, pesta itu berpotensi menjadi tarikan pelancongan komuniti di pedalaman Baram dan membuka peluang kepada penduduk setempat untuk memperkenalkan makanan tradisional, kraf tangan serta hasil pertanian kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dominic Nyurang Ajeng, Presiden PMSS, Usat Bilong, Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda, Pengerusi Pengelola Majlis Makan Malam Amal PMSS, Johnny Lihan dan wakil persatuan-persatuan dan ketua-ketua masyarakat Orang Ulu. – EDISI UKAS