70 Wanita Serta Kursus Peningkatan Imej Diri dan Kemahiran Komunikasi
MIRI: Seramai 70 peserta menyertai Kursus Women Personal Grooming anjuran Kelab Sukan Elektronik Bandar Miri (Miri City Esport Club) yang berlangsung di Grand Palace Hotel Miri pada Isnin.
Kursus yang bermula dari 9 pagi hingga 4 petang itu bertujuan meningkatkan imej diri, keyakinan serta kemahiran komunikasi dalam kalangan wanita.
Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang hadir menyempurnakan majlis pembukaan, manakala perunding imej profesional, jurulatih etika dan pakar strategi penjenamaan peribadi, Elaine Kwan dijemput sebagai penceramah.
Dalam ucapannya, Adam menegaskan bahawa komunikasi berkesan bukan sekadar bergantung kepada kepetahan berbicara, sebaliknya turut melibatkan kebijaksanaan mengendalikan situasi tidak dijangka, menjaga maruah orang lain dan membina kepercayaan.
Beliau turut berkongsi kisah pengacara televisyen China, Sa Beining yang berjaya mengubah satu insiden memalukan melibatkan kasut seorang ahli akademik kepada penghormatan terhadap dedikasi golongan saintis.
Menurutnya, keupayaan mengubah situasi negatif kepada perspektif positif tanpa menjatuhkan maruah orang lain merupakan antara kemahiran komunikasi penting dalam kehidupan profesional dan sosial.
Adam turut menekankan kepentingan penampilan diri dalam membentuk tanggapan pertama, termasuk aspek pemakaian, solekan, gaya berjalan dan bahasa tubuh yang mencerminkan keperibadian serta keyakinan seseorang.
Beliau menyifatkan penyertaan menggalakkan kaum wanita dalam kursus itu sebagai petanda positif terhadap kesedaran untuk terus memperkasa diri, meningkatkan nilai peribadi dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada aspek pengurusan imej dan penampilan peribadi, bahasa tubuh, komunikasi berkeyakinan serta teknik membentuk tanggapan pertama yang positif.-EDISI UKAS