MASOC 2027, Kerajaan Negeri Penganjur Perkukuh Penyelarasan Menjelang Sukan SEA Ke-34
GENTING HIGHLANDS: Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 bersama tiga kluster negeri penganjur memperkukuh penyelarasan persiapan bagi memastikan kelancaran penganjuran temasya dwitahunan itu yang dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 September tahun hadapan.
Ia menerusi penganjuran Bengkel Penyelarasan Sekretariat MASOC 2027 Bersama Kerajaan Negeri Penganjur Sukan SEA Ke-34 Tahun 2027 berlangsung dari 2 hingga 4 November ini di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands.
Bengkel tersebut menjadi platform penting untuk menyelaras keperluan serta memuktamadkan pelbagai perkara berkaitan dasar, operasi dan teknikal di peringkat pelaksanaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, bengkel berkenaan merupakan yang pertama dianjurkan secara khusus bagi menghimpunkan Sekretariat MASOC bersama semua kerajaan negeri penganjur iaitu Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
Menurut beliau, kehadiran wakil daripada semua kluster negeri penganjur mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan kejayaan penganjuran temasya sukan berprestij itu demi mengharumkan nama Malaysia.
Tegasnya, tempoh persiapan yang berbaki kira-kira 10 bulan sebelum temasya berlangsung memerlukan kerjasama erat, penyelarasan berterusan serta tindakan yang lebih tersusun daripada semua pihak.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya mesyuarat penyelarasan diadakan secara berkala pada setiap bulan dengan pelaksanaannya dibuat secara penggiliran antara kluster negeri penganjur.
Berteraskan semangat ‘One Team, One Mission’, Datuk Abdul Rashid berharap semua kluster dapat bergerak sebagai satu entiti penganjur yang bersepadu, saling melengkapi serta memberikan komitmen sepenuhnya terhadap tanggungjawab masing-masing.
Pada hari pertama bengkel, peserta turut diberikan taklimat mengenai status kemajuan terkini persiapan bagi Kluster Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
Bagi Kluster Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC 2027 dan Ketua Sekretariat Jawatankuasa Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee membentangkan perkembangan terkini tahap kesiapsiagaan kluster berkenaan, merangkumi aspek penyediaan mobilisasi dan perolehan.
Turut dibentangkan kesiapsiagaan operasi, acara ujian dan persediaan sebelum temasya, tempoh penganjuran temasya serta perkara-perkara berbangkit untuk penyelarasan bersama Sekretariat MASOC 2027.
Sarawak akan menganjurkan 18 jenis sukan selain turut menjadi tuan rumah Majlis Pembukaan temasya berkenaan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED), Datu Dzulkornain Masron, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Mu’azamir Jili; wakil-wakil daripada Kluster Sarawak, Pulau Pinang dan Johor. - EDISI UKAS