Pelajar Luar Bandar Diseru Rebut Peluang Pendidikan Antarabangsa
SIBU: Anak-anak di luar bandar diseru supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang keemasan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di bawah silibus antarabangsa.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapaee, menegaskan bahawa kemudahan dan peluang pendidikan berkualiti kini tidak lagi terhad di bandar sahaja, malah turut diberi keutamaan kepada pelajar di luar bandar menerusi penubuhan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak.
Beliau berkata, inisiatif tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan tiada pelajar yang ketinggalan dalam menikmati akses pendidikan setaraf standard global.
"Bayangkan, jika tiada kemudahan ini, pelajar di luar bandar hanya mampu bermimpi untuk belajar di sekolah antarabangsa dengan silibus global.
“Tetapi dengan usaha kerajaan Sarawak yang membuka peluang seluas-luasnya, anak-anak di luar bandar kini mendapat akses yang sama rata," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada Simposium Kepimpinan Digital 2026 di Hotel Kingwood, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Annuar turut mengulas mengenai video tular yang membangkitkan isu perbezaan antara pelajar bandar dan luar bandar, sambil menegaskan bahawa persepsi sedemikian tidak seharusnya timbul.
Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak telah membuka ruang dan peluang yang adil, di mana keutamaan kini diberikan kepada anak-anak di luar bandar untuk menimba ilmu dalam persekitaran pembelajaran yang moden.
"Peluang hari ini tidak membezakan antara bandar dan luar bandar, malah keutamaan yang lebih diberikan kepada pelajar luar bandar kita.
"Apa yang paling bahaya ialah apabila peluang telah dibuka seluas-luasnya, tetapi ia tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh anak bangsa kita sendiri.
“Oleh itu, jangan takut apabila peluang itu dibuka, tetapi takutlah kita tidak merebut peluang tersebut," tegas beliau.-EDISI UKAS