Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Penting Lindungi Hak, Elak Pertikaian
KAPIT: Kefahaman mengenai undang-undang keluarga Islam penting bagi memastikan hak dan tanggungjawab setiap pihak dalam urusan kekeluargaan terpelihara, sekali gus mengelakkan pertikaian berkaitan perceraian dan pengurusan harta pusaka.
Perkara itu antara yang diketengahkan menerusi Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak bersempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2026 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Muhibbah, di sini, baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) itu menghimpunkan kira-kira 150 peserta dengan pengisian yang memberi pendedahan mengenai hak selepas perceraian serta kepentingan pengurusan harta pusaka orang Islam secara teratur.
Antara pengisian utama ialah ceramah bertajuk ‘Pembubaran Perkahwinan dan Hak-Hak Selepas Perceraian’ yang disampaikan oleh Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Bahagian Sibu, Nur Azhar Abdullah.
Program turut menampilkan Forum Syariah Perdana bertajuk ‘Pengurusan Harta Pusaka Orang Islam’ yang membincangkan kepentingan memahami hak waris serta menguruskan harta pusaka dengan teratur bagi mengelakkan pertikaian dan kelewatan penyelesaian.
Dalam ucapan penangguhannya, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak, Najarudin Nedri yang mewakili Ketua Hakim Syarie Sarawak menekankan kepentingan memahami prosedur undang-undang yang betul dalam urusan kekeluargaan, termasuk mengutamakan kebajikan anak-anak dan mematuhi perintah mahkamah.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya berkongsi ilmu yang diperoleh dengan keluarga dan komuniti selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur menjelang 2030 menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan bakul makanan daripada Tabung Baitulmal Sarawak kepada lima penerima yang terdiri daripada golongan mualaf dan keluarga yang memerlukan di sekitar Kapit, sebagai simbol keprihatinan menerusi tema “Ummah Maju Makmur”.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kapit, Anyie Awing yang mewakili Pegawai Daerah Kapit, Pemangku Ketua Pendaftar JKSS Norsilawati Jamari serta Penguasa Bahagian Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kapit, Superintendent Diana Kuwa @ Matilee.-EDISI UKAS