619 Graduan UPM Sarawak Dirai Pada Majlis Konvokesyen Ke-50
BINTULU: Seramai 619 graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) diraikan pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 1 yang berlangsung selama dua hari bermula 2 November di Dewan Sri Kenyalang, UPM Sarawak (UPMS) di sini pada Isnin.
Daripada jumlah itu, seramai 21 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 21 graduan Sarjana, 100 graduan Bacelor dan 477 graduan Diploma dalam pelbagai bidang pengajian.
Konvokesyen kali ini turut mengiktiraf kecemerlangan graduan dalam bidang akademik, kokurikulum dan pembangunan diri sepanjang tempoh pengajian.
Antara penerima anugerah utama ialah Sarah Hannani Ahmad Fikri daripada program Bacelor Sains Perhutanan yang menerima Hadiah Live Animals Medical Centre sebagai Graduan Terbaik Bacelor.
Lai Kah Meng daripada program Diploma Sains Komputer pula menerima Hadiah Kecemerlangan Yvonne Sing Sai Hoi sebagai Graduan Terbaik Diploma.
Turut menerima pengiktirafan ialah Aishah Annah Teunissen daripada program Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan yang dianugerahkan Pingat Emas Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Bintulu Port Holdings Berhad.
Menariknya, konvokesyen kali ini turut menyaksikan pengenalan Pingat Emas Alumni Persatuan Alumni UPM (PAUPM) sebagai pengiktirafan kepada graduan yang mencapai kecemerlangan secara menyeluruh, merangkumi aspek akademik, kepimpinan dan pembangunan sahsiah.
Anugerah berkenaan diberikan kepada Muhammad Alif Ashraf Razman, graduan Diploma Pengurusan Perladangan Makanan.
Dalam perkembangan berkaitan, UPMS terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pendidikan, penyelidikan dan inovasi pertanian bagi menyokong agenda keterjaminan makanan serta pembangunan sektor agromakanan di Sarawak dan rantau Borneo.
Menerusi peranannya sebagai Wadah Keterjaminan Makanan Borneo, UPMS memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga mahir, penyelidikan berasaskan keperluan industri dan pemindahan teknologi pertanian kepada masyarakat, khususnya komuniti tani.
Usaha itu turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan Kerajaan Sarawak, termasuk inisiatif penubuhan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan serta pelaksanaan projek transformasi penanaman padi AgriHub@Gedong bagi meningkatkan produktiviti pertanian negeri.
Pada masa sama, UPMS turut menerajui Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) sebagai platform kerjasama institusi pendidikan tinggi di rantau Borneo, khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan komuniti.
Sementara itu, Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen turut diadakan sempena sambutan Konvokesyen UPM Ke-50 dari 30 Oktober hingga 3 November 2026 di tapak ekspo berhampiran Dewan Sri Kenyalang.
Ekspo yang dibuka kepada orang ramai dari 8 pagi hingga 11 malam itu menawarkan pelbagai hasil pertanian, tanaman hiasan, produk ternakan dan keperluan pertanian, selain menjadi platform mendekatkan kepakaran serta inovasi universiti kepada masyarakat setempat.
Penganjuran konvokesyen itu bukan sahaja meraikan pencapaian akademik graduan, malah mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam melahirkan tenaga mahir yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan negara.-EDISI UKAS