Sarawak Beralih Kepada Ekonomi Karbon, Pemuliharaan Hutan Mampan
SIBU: Sarawak sedang mengubah hala tuju sektor perhutanan daripada kebergantungan kepada industri pembalakan tradisional kepada ekonomi berasaskan karbon, pemuliharaan hutan dan pembangunan mampan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, transformasi itu mencerminkan perubahan pendekatan Kerajaan Sarawak dalam menguruskan sumber hutan dengan memberi penekanan lebih besar terhadap kelestarian alam sekitar tanpa mengabaikan kepentingan ekonomi.
“Hari ini, penanaman pokok bukan lagi semata-mata untuk menghasilkan kayu balak, sebaliknya turut membuka peluang kepada pembangunan hutan komersial dan penjanaan kredit karbon.
“Melalui mekanisme kredit karbon, syarikat boleh memperoleh kredit berkenaan untuk digunakan bagi tujuan mengimbangi pelepasan karbon,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Integriti Jabatan Hutan Sarawak 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Menurut Datuk Len, sektor perhutanan Sarawak yang mempunyai sejarah lebih 100 tahun pernah bergantung kepada industri kayu-kayan sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri, termasuk di Sibu yang menjadi pusat pengangkutan hasil hutan melalui Sungai Rajang serta laluan ke kawasan pedalaman menerusi jalan balak.
“Bagaimanapun, sejak era 1990-an dan 2000-an, kerajaan negeri mula beralih kepada pengurusan sumber hutan secara mampan melalui penanaman semula pokok dan penerokaan ekonomi berasaskan karbon,” ujarnya.
Beliau berkata, peralihan tersebut membuka ruang kepada Sarawak untuk meneroka potensi ekonomi hijau dan rendah karbon, selain memastikan sumber hutan negeri terus diuruskan secara bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Datuk Len menegaskan Jabatan Hutan Sarawak mempunyai peranan penting dalam merealisasikan hala tuju berkenaan menerusi tiga aspek utama, iaitu pengurusan hutan secara mampan, pembangunan ekonomi hutan dan penglibatan komuniti.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Hutan Sarawak atas usaha memperkukuh pengurusan hutan melalui pensijilan pengurusan hutan mampan.
“Pensijilan ini penting bagi memastikan hasil kayu dari Sarawak diiktiraf sebagai produk yang sah, diuruskan secara mampan dan memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan komuniti rumah panjang dan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan hutan sebagai rakan strategik dalam usaha pemuliharaan, termasuk melalui pelaksanaan sistem tagang dan program berasaskan komuniti.
Menyentuh aspek integriti, Datu Len berkata, tadbir urus yang baik perlu menjadi asas kepada setiap pelaksanaan dasar dan keputusan jabatan, dengan mengutamakan ketelusan, akauntabiliti serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Katanya, penggunaan teknologi digital termasuk sistem pemantauan seperti T-LAS, EFIMS dan e-Zone, selain integrasi kecerdasan buatan (AI) serta Sistem Maklumat Geografi (GIS), mampu meningkatkan kecekapan pemantauan dan mengurangkan ruang berlakunya salah guna kuasa.
Hadir sama ialah Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad; Timbalan Pengarah (Konservasi Hutan dan Pembangunan), Happysupina Sait; Ketua Unit Integriti dan Audit Dalam, Abdul Wahab Ahmad; Ketua Bahagian Pejabat Pentadbiran, Khidmat Pengurusan dan Kewangan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Mahri Sarpawi dan Pegawai Hutan Wilayah Sibu, Ahmad Ashrin Mohammad Bohari.-EDISI UKAS