Majlis Makan Malam Pra-Krismas 2026 Eratkan Perpaduan PWOUM
MIRI: Persatuan Wanita Orang Ulu Miri (PWOUM) telah menganjurkan Majlis Makan Malam Pra-Krismas 2026 di Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri baru-baru ini bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Orang Ulu.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang serta Pengerusi PWOUM, Kijan Toynbee.
Dalam ucapannya, Datuk Sebastian merakamkan penghargaan kepada Kijan Toynbee dan barisan jawatankuasa PWOUM atas usaha menganjurkan majlis berkenaan sebagai platform memperkukuh hubungan dalam kalangan ahli persatuan dan masyarakat Orang Ulu, khususnya menjelang sambutan Hari Krismas.
Beliau turut memuji peranan PWOUM yang bukan sahaja aktif menganjurkan aktiviti sosial, malah melaksanakan bengkel dan pelbagai program bagi memelihara serta mempromosikan warisan budaya masyarakat Orang Ulu.
Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan kekayaan seni, budaya, pakaian tradisional, makanan dan persembahan kebudayaan Sarawak terus dikenali serta diwarisi oleh generasi muda.
Beliau berkata, Sarawak yang mempunyai 34 kumpulan etnik memiliki keunikan budaya tersendiri yang berpotensi diketengahkan kepada pelancong dan masyarakat antarabangsa.
Sehubungan itu katanya, kementerian turut membawa kumpulan kebudayaan Sarawak menyertai pelbagai program dan persembahan di luar negara bagi memperkenalkan identiti serta warisan negeri ini ke peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan sambutan Krismas sebagai perayaan yang membawa mesej kasih sayang, perkongsian dan keprihatinan terhadap sesama insan tanpa mengira perbezaan agama serta latar belakang.
Beliau berharap semangat tersebut terus menjadi asas kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Datuk Sebastian turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Krismas lebih awal kepada semua yang meraikannya serta Selamat Tahun Baharu 2027.-EDISI UKAS