Akses Air Terawat Diperluas, Penduduk Sekitar Julau Terima Manfaat Projek RM25.7 Juta
JULAU: Penduduk di kawasan Julau dan sekitarnya kini menikmati kemudahan bekalan air lebih menyeluruh menerusi peningkatan kapasiti loji rawatan serta peluasan rangkaian paip pengagihan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek berkenaan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu keupayaan sistem sedia ada serta memperluas akses penduduk terhadap air terawat.
Menurut beliau, peningkatan kapasiti pengeluaran sebanyak 3.4 juta liter sehari (JLH) membolehkan Loji Rawatan Air Julau menampung permintaan lebih tinggi menerusi kemudahan pemprosesan yang dinaik taraf.
“Pengukuhan infrastruktur turut dilaksanakan melalui pembinaan kemudahan pengambilan air mentah dan stesen pam bagi memastikan proses penyaluran sumber air berjalan lebih cekap,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Julau di sini, pada Isnin, selepas projek yang dimulakan pada 25 Ogos 2024 itu mula beroperasi pada 14 Ogos lalu.
Pada masa sama, pemasangan paip baharu sepanjang 28.8 kilometer menjadi antara komponen penting dalam memperluas liputan perkhidmatan serta memperkukuh sistem pengagihan ke kawasan berkaitan.
Dato Sri Julaihi berkata, peningkatan itu turut memberi kesan kepada penduduk di pekan Julau apabila bekalan air kini lebih stabil, dengan tekanan mencukupi tanpa gangguan catuan pada waktu malam.
Beliau berkata, penduduk dari Bejawai hingga Nanga Luau juga menerima perubahan ketara apabila kawasan berkenaan kini memperoleh akses kepada kemudahan bekalan air terawat.
Bagi kawasan sepanjang Jalan KJD, khususnya Batu 15 hingga Batu 17, projek tersebut menyediakan sumber bekalan tambahan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sistem dari Machan, Kanowit.
Tambahnya, pembangunan infrastruktur air akan terus diberi perhatian kerana kemudahan tersebut mempunyai kaitan langsung dengan kesihatan awam, aktiviti ekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat.
Julaihi berkata, inisiatif bernilai RM25.7 juta itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak memastikan kemudahan asas terus dipertingkat, khususnya bagi memenuhi keperluan komuniti luar bandar.-EDISI UKAS