TYT Sarawak Terima Kunjungan Penerima Hadiah Nobel Fizik 2023
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat penerima Hadiah Nobel Fizik 2023, Profesor Pierre Agostini bersama delegasi Institut Fizik Malaysia (MIP) di Astana Negeri Sarawak pada Selasa.
Kunjungan tersebut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan sains dan teknologi, kepentingan penyelidikan saintifik serta pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Dalam pertemuan itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi menekankan kepentingan memperkukuh pendidikan, penyelidikan dan pembangunan bakat bagi memastikan Sarawak mampu melahirkan lebih ramai saintis, penyelidik serta inovator berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Ujarnya, kemajuan sesebuah negeri bukan sahaja bergantung kepada kekuatan ekonomi, malah turut dipacu keupayaan rakyat menguasai ilmu pengetahuan, membangunkan kepakaran serta menghasilkan penemuan dan inovasi teknologi sendiri.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh pendidikan STEM serta memupuk budaya penyelidikan, pemikiran kritis, kreativiti dan penerokaan ilmu dalam kalangan generasi muda Sarawak.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut menyatakan keyakinan bahawa Sarawak mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan sains, penyelidikan dan inovasi selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak membangunkan ekonomi baharu berteraskan teknologi tinggi, tenaga boleh diperbaharui dan modal insan berkemahiran.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama lebih erat antara institusi pengajian tinggi tempatan dengan universiti serta institusi penyelidikan antarabangsa bagi memperluas pemindahan ilmu, pembangunan kepakaran dan penyelidikan bersama, khususnya dalam bidang strategik seperti teknologi kuantum, kecerdasan buatan (AI) dan industri berteknologi tinggi.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan menyediakan laluan kerjaya profesional yang membolehkan saintis, jurutera, doktor, penyelidik dan pakar teknologi mencapai tahap tertinggi dalam bidang kepakaran masing-masing tanpa perlu beralih kepada bidang pentadbiran untuk mendapatkan pengiktirafan dan ganjaran yang lebih baik.
Menurut beliau, kecemerlangan teknikal, penyelidikan dan inovasi perlu diberikan pengiktirafan yang setara dengan kecemerlangan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bagi membantu menarik serta mengekalkan tenaga pakar di Sarawak.
Pada masa sama, beliau menekankan keperluan menaik taraf kemudahan makmal, peralatan saintifik serta infrastruktur penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain menggalakkan penglibatan lebih aktif sektor industri melalui pembiayaan penyelidikan, penajaan bakat dan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tinggi.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut berharap kejayaan tokoh saintis seperti Profesor Pierre Agostini dapat menjadi inspirasi kepada pelajar, pensyarah dan penyelidik muda Sarawak untuk terus meneroka ilmu serta menghasilkan penemuan dan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Profesor Pierre Agostini merupakan antara penerima Hadiah Nobel Fizik 2023 atas sumbangan perintis beliau dalam bidang fizik attosaat yang membolehkan saintis mengkaji pergerakan elektron dalam atom dan molekul pada skala masa yang amat singkat.
Turut hadir Presiden Institut Fizik Malaysia, Profesor Tou Teck Yong, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Datu Adana Jed, Timbalan Setiausaha Tetap Caroline Cleophas Joseph serta Ketua Bahagian Dr. Cheong Yaw Liang.-EDISI UKAS