Inisiatif Pendidikan Percuma Buka Peluang, Pacu Kecemerlangan Anak Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Inisiatif pendidikan percuma yang diperkenalkan Premier Sarawak dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, khususnya golongan kurang berkemampuan, selain menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik.
Penerima Anugerah Graduan Cemerlang Yayasan Sarawak 2026 bagi kategori Graduan Terbaik Bumiputera, Mohd Saifuddin Abdullah, 23, berkata bantuan pendidikan kerajaan memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban kewangan keluarga serta memberi motivasi kepada pelajar untuk mencapai kejayaan.
Graduan jurusan Ukur Bahan dari Bintulu itu berkata, sokongan yang diterimanya sepanjang pengajian membolehkannya memberi tumpuan kepada akademik dan penglibatan dalam aktiviti universiti tanpa terlalu dibebani kekangan kewangan keluarga.
Beliau yang berasal daripada keluarga berpendapatan sederhana turut menyifatkan bantuan pendidikan sebagai dorongan kepada pelajar untuk terus membangunkan potensi diri, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah menerusi aktiviti kepimpinan, kesukarelawanan dan sukan.
“Bantuan Yayasan Sarawak membantu mengurangkan beban kewangan keluarga saya dan pada masa sama memberikan motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh anugerah ini,” katanya.
Kini bekerja di bawah seliaan Shell MDS, Mohd Saifuddin berhasrat menyumbangkan kemahiran dan pengalamannya dalam bidang ukur bahan bagi menyokong pembangunan Sarawak, khususnya dalam memenuhi keperluan tenaga profesional tempatan.
Sementara itu, penerima anugerah bagi kategori Graduan Terbaik Bukan Bumiputera, Sharon Leong Hui Jiun, 24, menyifatkan inisiatif pendidikan percuma sebagai peluang baik kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang mungkin tidak mempunyai akses mencukupi untuk melanjutkan pengajian.
“Saya berpendapat inisiatif ini merupakan peluang yang sangat baik kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang mungkin tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sharon yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.99 dalam pengajian Sarjana Muda Sains Kimia dengan Kepujian berkata, sokongan kerajaan dalam membantu keluarga kurang berkemampuan mendapatkan peluang pendidikan penting untuk membina masa depan generasi muda.
Beliau turut mengakui kejayaannya tidak dicapai tanpa sokongan keluarga, rakan-rakan dan pensyarah, selain disiplin dalam mengimbangi tuntutan akademik dengan aktiviti kokurikulum sepanjang pengajian.
Sharon berharap pencapaiannya dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk yakin terhadap kemampuan diri, kekal konsisten dan tidak membandingkan perjalanan masing-masing dengan orang lain.
Kedua-dua graduan berkenaan menerima pengiktirafan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kali Ke-30, Sidang Ketiga di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA) pada Selasa.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Natalie Cherinie Johnny