Tajaan Yayasan Sarawak Realisasikan Impian Dua Anak Sarawak Genggam Ijazah Perubatan
KOTA SAMARAHAN: Impian dua anak Sarawak dari Kapit dan Tatau untuk menceburi bidang perubatan akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi tajaan Yayasan Sarawak.
Kejayaan Jasnita Anak Kent dari Rumah Anding, Sungai Melinau, Kapit dan Nur Hafizah Auda dari Kampung Baru Tatau membuktikan bahawa kekangan kewangan serta latar belakang keluarga bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan tinggi.
Kisah inspirasi kedua-dua graduan daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) itu turut mendapat perhatian Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, yang mengetengahkan kejayaan mereka dalam ucapannya pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Kali Ke-30 di sini pada Selasa.
Ketika ditemui selepas majlis berkenaan, Jasnita meluahkan rasa syukur dan gembira kerana berjaya menamatkan pengajian meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan akademiknya.
“Saya gembira sebab bukan semua orang boleh dapat peluang seperti ini. Walaupun ada kesusahan sepanjang perjalanan di universiti, Yayasan Sarawak banyak membantu,” katanya.
Menurut Jasnita, persekitaran pembelajaran yang kondusif serta sokongan rakan-rakan dan tenaga pengajar turut menjadi pendorong utama untuk beliau terus berusaha sehingga berjaya menamatkan pengajian.
Beliau turut menyifatkan inisiatif Kerajaan Sarawak dalam memperluas akses pendidikan tinggi sebagai langkah penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada anak tempatan untuk mencapai cita-cita dan membina kerjaya profesional.
Sementara itu, Nur Hafizah mengakui terharu dan tidak menyangka kejayaannya turut mendapat perhatian Premier Sarawak sehingga namanya disebut dalam ucapan pada majlis berkenaan.
Menurutnya, pengiktirafan tersebut menjadi kenangan bermakna serta pembakar semangat untuk terus memberikan sumbangan kepada masyarakat, khususnya dalam bidang kesihatan.
Mengimbas cabaran sepanjang pengajian, beliau berkata, perjalanan dari Tatau ke Bintulu sebelum meneruskan perjalanan ke Kuching memerlukan perancangan yang teliti.
Bagaimanapun, penambahbaikan infrastruktur jalan raya di Sarawak banyak membantu memudahkan pergerakan serta memendekkan tempoh perjalanan.
“Pada saya, inisiatif Premier Sarawak memang berbaloi kerana ia merangkumi aspek pendidikan, pembelajaran dan pengangkutan.
“Saya berharap lebih ramai anak Sarawak berminat menceburi bidang perubatan kerana sekarang ini doktor masih sangat diperlukan di Sarawak,” katanya.
Nur Hafizah turut menyatakan hasrat untuk kembali menabur bakti di negeri kelahirannya, khususnya di kawasan berhampiran tempat asalnya.
“Sudah tentu saya mahu berkhidmat di Sarawak. Kalau boleh, saya mahu bekerja dekat-dekat kawasan Bintulu,” katanya.
Kedua-dua graduan itu merupakan antara 41 pelajar perubatan tajaan Yayasan Sarawak yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Kali Ke-30.
Menerusi tajaan berkenaan, mereka menerima pembiayaan penuh yuran pengajian, kemudahan penginapan di kolej kediaman serta elaun sara hidup tahunan, sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga sepanjang tempoh pengajian.
Kejayaan mereka turut mencerminkan keberkesanan pelaburan Kerajaan Sarawak dalam pembangunan modal insan, khususnya bagi melahirkan lebih ramai tenaga profesional perubatan tempatan untuk memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan di seluruh negeri.-EDISI UKAS