BELAGA: Karnival SarawakKu Membaca Siri 9 Zon Murum dan Majlis Graduasi Literasi Orang Dewasa Tahun 2026 terus memperkukuh budaya membaca serta pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat pedalaman.
Program itu turut meraikan graduan Program Literasi Orang Dewasa yang berjaya menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, sekali gus meningkatkan keyakinan serta keupayaan mereka dalam kehidupan seharian.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pameran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bengkel hidroponik, pembuatan sabun mesra alam, bengkel STEM, sesi bercerita serta aktiviti seni dan kraf kanak-kanak.
Penganjuran program itu turut membuka peluang kepada masyarakat pelbagai peringkat umur untuk menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan mengembangkan potensi diri.
Program anjuran PUSTAKA Negeri Sarawak Sibu dengan kerjasama Rukun Tetangga dan KEMAS itu berlangsung di Dewan Lamin Adet Bangen Kimet, Uma Baha Apau Koyan, Sungai Asap, dengan kehadiran kira-kira 350 peserta.-EDISI UKAS