IRSDA Pantau Kemajuan Projek Jalan RM22.68 Juta Di Sungai Ijok
SEBUYAU: Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) mempergiat pemantauan pelaksanaan projek infrastruktur di Daerah Sebuyau bagi memastikan kemudahan jalan raya yang dirancang dapat disiapkan dan dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Kecil Pembangunan Infrastruktur IRSDA mengadakan sesi taklimat dan lawatan tapak ke Projek Pembinaan Jalan ke Sungai Ijok di Kampung Sungai Ijok Stika pada Selasa.
Projek bernilai RM22.68 juta itu dilaksanakan oleh D.A.L Keluarga Realty Sdn. Bhd. bermula 21 Mei 2024 dengan tempoh pelaksanaan asal selama 18 bulan.
Bagaimanapun, projek berkenaan diberikan lanjutan masa (EOT) selama 383 hari dengan tarikh siap terkini dijadualkan pada 12 Disember 2026.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau status semasa pembinaan, mengenal pasti perkembangan pelaksanaan serta memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Pembinaan jalan itu dijangka meningkatkan kemudahan perhubungan dan aksesibiliti penduduk, sekali gus menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat di sekitar Sungai Ijok.
Turut menyertai lawatan ialah wakil Pegawai Daerah Sebuyau, Kelvin Unggin, Timbalan Pegawai Tadbir Khas IRSDA, Jerina Gapor dan wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan, Fabian Janting Paulus Dandee.-EDISI UKAS