Sarawak Rancang Tambah 40 Tempat Pengajian Perubatan Di UNIMAS
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak merancang meningkatkan jumlah tempat pengajian perubatan khusus untuk anak Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) daripada 40 kepada 80 tempat bagi melahirkan lebih ramai doktor tempatan untuk memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, perancangan itu melibatkan penambahan 40 tempat pengajian yang dicadangkan untuk dibiayai menerusi Yayasan Sarawak.
Menurut beliau, perkara tersebut telah dibincangkan bersama pihak UNIMAS baru-baru ini sebagai sebahagian daripada usaha strategik kerajaan memperkukuh pembangunan tenaga profesional kesihatan tempatan.
"Atas sebab itulah, baru-baru ini saya telah mengadakan perbincangan dengan pihak UNIMAS untuk meningkatkan tempat pengajian perubatan khusus bagi anak-anak Sarawak daripada 40 kepada 80 tempat, melalui penambahan 40 tempat lagi yang dirancang dengan pembiayaan pengajian oleh Yayasan Sarawak.
"Saya mahu usaha ini dilihat sebagai pelaburan strategik dalam membangunkan tenaga profesional kesihatan tempatan. Kita bukan sekadar mahu menambah bilangan graduan perubatan, tetapi memastikan Sarawak mempunyai tenaga doktor dan pakar yang mencukupi, berkualiti serta bersedia memberikan perkhidmatan kepada rakyat di seluruh wilayah ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Konvokesyen UNIMAS Kali Ke-30, Sidang 3, di Arena Gemilang, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Biasiswa Khas Program Perubatan UNIMAS yang dilaksanakan menerusi Yayasan Sarawak sejak 2017 telah berjaya melahirkan 200 graduan perubatan anak Sarawak yang menerima tajaan penuh kerajaan negeri.
Katanya, penerima biasiswa yang berjaya menamatkan pengajian turut tertakluk kepada ikatan perkhidmatan selama 10 tahun di Sarawak berdasarkan syarat perjanjian yang ditetapkan.
Pendekatan tersebut bertujuan memastikan pelaburan dalam pendidikan perubatan memberikan manfaat jangka panjang, khususnya kepada penduduk luar bandar dan pedalaman yang memerlukan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Pada majlis berkenaan, seramai 41 pelajar perubatan tajaan Yayasan Sarawak merupakan antara graduan yang menerima ijazah, sekali gus mencerminkan keberkesanan pelaburan kerajaan dalam pembangunan modal insan.
Daripada jumlah itu, dua graduan, Jasnita Anak Kent dari Rumah Anding, Sungai Melinau, Kapit dan Nur Hafizah Auda dari Kampung Baru Tatau, turut mendapat perhatian Premier Sarawak atas kejayaan mereka menamatkan pengajian dalam bidang perubatan.
Kedua-duanya menerima pembiayaan penuh yuran pengajian, kemudahan tempat tinggal di kolej kediaman serta elaun sara hidup tahunan menerusi tajaan Yayasan Sarawak.
Sementara itu, Premier Sarawak turut menekankan kepentingan memperkukuh penyelidikan dan kepakaran kesihatan tempatan seiring pembangunan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) serta usaha membangunkan Pusat Kanser Sarawak.
Beliau berharap UNIMAS terus memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga profesional dan memperkukuh penyelidikan klinikal serta kesihatan awam bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.-EDISI UKAS