Sarawak Pertimbang Perluas Manfaat FTES Kepada Pelajar di Universiti Awam Persekutuan
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak pada dasarnya bersetuju mempertimbangkan peluasan manfaat inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) kepada anak Sarawak yang mengikuti pengajian di universiti awam milik Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kampus di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cadangan itu dibangkitkan susulan permintaan pihak universiti supaya anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi berkenaan turut dipertimbangkan untuk menikmati manfaat FTES.
“Atas permintaan Naib Canselor, kita telah berbincang dan mereka mencadangkan supaya anak Sarawak yang belajar di universiti awam milik Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kampus di Sarawak turut dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam program FTES.
“Pada dasarnya saya bersetuju dan apabila kita memperoleh semula mandat serta kuasa, perkara ini akan kita pertimbangkan untuk diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kali Ke-30, Sidang Ketiga di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA) pada Selasa.
Menurutnya, pertimbangan awal itu melibatkan anak Sarawak yang mengikuti pengajian di kampus universiti awam berkenaan di Sarawak, termasuk UNIMAS, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Bagaimanapun, peluasan manfaat kepada anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di universiti di Semenanjung Malaysia belum diputuskan buat masa ini.
“Maknanya anak Sarawak yang menuntut di Sarawak sahaja. Yang lain menuntut di Semenanjung tunggu dululah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan FTES ketika ini melibatkan 64 kursus yang telah ditetapkan, manakala bantuan wang saku turut disediakan kepada pelajar di seluruh Malaysia.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (Pendidikan), Datuk Dr Annuar Rapaee.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Natalie Cherinie Johnny