Jalan Kampung Tegelam-Sungai Alit Siap, Perkukuh Perhubungan Luar Bandar
GEDONG: Projek pembinaan Jalan Kampung Tegelam-Kampung Sungai Alit bernilai RM24.5 juta kini siap sepenuhnya dan dibuka kepada penduduk setempat sekali gus meningkatkan kemudahan perhubungan serta aksesibiliti kawasan luar bandar di Gedong.
Projek yang dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Kecil Pembangunan Infrastruktur Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) itu bermula pada 20 Januari 2023 dengan tarikh siap asal 19 September 2024 sebelum disemak semula kepada 2 November 2026.
Sehubungan itu, satu lawatan ke tapak projek diadakan pada Selasa disertai Timbalan Pegawai Tadbir Khas IRSDA, Jerina Gapor, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan, Fabian Janting Paulus Dandee, Jurutera Perunding Kumpulan Satu Sdn. Bhd., Colin Ting Leong Hing serta wakil kontraktor Borneo Assets Sdn. Bhd., Jeffery Dickson Sandom.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan jalan raya dua lorong dua hala sepanjang 8.708 kilometer, merangkumi jalan utama sepanjang 5.523 kilometer mengikut piawaian JKR R2 serta jalan cabang sepanjang 3.185 kilometer mengikut piawaian JKR R1, termasuk laluan penghubung ke Kampung Sungai Alit dan Kampung Tegelam.
Skop pembinaan turut merangkumi pemasangan pembetung, pembinaan longkang, persimpangan jalan, perabot jalan raya, penandaan jalan serta kerja-kerja rawatan tanah dan perlindungan cerun bagi memastikan kestabilan struktur serta keselamatan pengguna.
Dengan siapnya projek itu, penduduk Kampung Tegelam, Kampung Sungai Tegelam dan Kampung Sungai Alit kini dapat menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik, selesa dan selamat, sekali gus memudahkan pergerakan harian serta meningkatkan hubungan antara kawasan kampung terlibat.
Pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempertingkatkan infrastruktur luar bandar, selain merangsang pembangunan sosioekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan Gedong.-EDISI UKAS