SADA Kenal Pasti Projek Pertanian, Pelancongan Berimpak Tinggi Di Sri Aman
MIRI: Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) giat mengenal pasti projek pembangunan berimpak tinggi dalam sektor pertanian dan pelancongan bagi Bahagian Sri Aman sebagai persediaan mendapatkan pertimbangan peruntukan tambahan daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Usaha itu dilaksanakan menerusi Bengkel SADA dan Lawatan ke Projek Pertanian serta Pelancongan Berimpak Tinggi di Miri selama tiga hari bermula 3 November, bertujuan menyediakan senarai cadangan projek baharu berdasarkan keperluan masyarakat setempat.
Pengerusinya, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, komitmen peruntukan SADA yang diluluskan sebelum ini kini menghampiri 100 peratus, justeru perancangan awal perlu dilakukan bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan projek pembangunan di Bahagian Sri Aman.
Menurut beliau, penglibatan Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Ketua-Ketua Masyarakat serta jabatan dan agensi teknikal penting bagi memastikan setiap cadangan projek mempunyai justifikasi kukuh dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, pembangunan Bahagian Sri Aman kini memberi tumpuan kepada Fasa Kedua yang menekankan sektor pertanian dan pelancongan, selaras dengan potensi kedua-dua sektor dalam merangsang ekonomi setempat, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan masyarakat.
Sementara itu, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, pembangunan SADA dilaksanakan menerusi tiga fasa utama, iaitu pembangunan infrastruktur, pertanian dan pelancongan serta perkhidmatan sosial, perniagaan, pendidikan dan modal insan.
Katanya, Fasa Pertama melibatkan peruntukan awal berjumlah RM1.5 bilion dengan kira-kira 70 peratus telah dibelanjakan, khususnya bagi membiayai projek jalan raya, jambatan dan sistem perparitan.
Bagi sektor pertanian, kawasan Lingga, Stumbin dan Tanjung Bijat dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk pembangunan industri padi, manakala Gunung Lesong dan Tasik Batang Ai berpotensi diperkasakan sebagai destinasi ekopelancongan menerusi pendekatan pelancongan berasaskan komuniti (CBET), inap desa serta produk pelancongan berteraskan budaya tempatan.
Beliau turut berharap pendekatan CBET dapat diperluaskan ke kawasan Batang Ai dengan penglibatan aktif komuniti setempat bagi membuka peluang ekonomi baharu dan menjana pendapatan penduduk.
Perancangan pembangunan berkenaan turut mengambil kira hala tuju beberapa dokumen utama, termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), Sri Aman Master Plan 2020–2030, SADA Development Plan 2021–2030 dan Sarawak Tourism Master Plan 2020–2035.
Turut menyertai bengkel ialah Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Frank Lani, Pegawai Tadbir Khas SADA, Alfred Geling Ason, Pegawai Daerah Sri Aman, Sharif Bujang, Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong serta Pemangku Pegawai Daerah Lingga, Josephson Louis, bersama wakil jabatan, agensi teknikal dan Ketua-Ketua Masyarakat.-EDISI UKAS