Graduan Tingkatan Enam SMK Meradong Digalak Teruskan Pengajian Ke Peringkat Lebih Tinggi
MERADONG: Graduan Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong digalak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi memperluas peluang kerjaya serta membina masa depan yang lebih cerah.
Kelayakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) merupakan antara laluan penting untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
Perkara itu antara yang ditekankan pada Majlis Graduasi Tingkatan Enam SMK Meradong yang berlangsung di Dewan SMK Meradong pada Rabu.
Majlis berkenaan turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas pembentukan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.
Selain kecemerlangan akademik, para graduan turut diingatkan supaya mengutamakan nilai disiplin, kejujuran, tanggungjawab dan semangat tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Dalam pada itu, komitmen untuk meneruskan pemberian insentif kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM turut dinyatakan sebagai galakan kepada mereka untuk terus meningkatkan pencapaian akademik.
Penghargaan turut diberikan kepada barisan guru dan ibu bapa atas bimbingan, sokongan serta pengorbanan mereka dalam membantu para pelajar mencapai kejayaan.-EDISI UKAS