Empat Projek Bekalan Air Terawat, Stesen Pam Penggalak RM3.055 Juta Diperkasa Di Tasik Biru
BAU: Empat projek pembangunan bekalan air terawat dan pembinaan stesen pam penggalak dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM3.055 juta dilaksanakan bagi memperkukuh kemudahan infrastruktur asas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.2 Tasik Biru.
Kesemua projek di bawah seliaan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dengan kerjasama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) Bahagian Kuching itu melibatkan nilai kontrak keseluruhan sebanyak RM1.927 juta.
Majlis penyerahan tapak projek berkenaan disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep baru-baru ini, sebagai usaha memperluas akses penduduk luar bandar kepada bekalan air terawat serta meningkatkan keupayaan sistem pengagihan air.
Tiga daripada projek tersebut melibatkan penyambungan bekalan air terawat di Kampung Bobak Sajong dengan peruntukan RM600,000, Kampung Bobak Sejinjang (RM740,000) serta Jalan Sinikam-Botas (RM415,000).
Skop ketiga-tiga projek itu merangkumi pemasangan paip jenis High-Density Polyethylene (HDPE) sepanjang keseluruhan 5.563 kilometer serta 225 unit penyambungan baharu atau pemindahan meter air bagi meningkatkan liputan bekalan air kepada penduduk.
Ketiga-tiga projek penyambungan bekalan air tersebut dijadualkan bermula pada 16 November 2026, dengan projek di Kampung Bobak Sajong dan Kampung Bobak Sejinjang dijangka siap pada 15 Julai 2027, manakala projek Jalan Sinikam-Botas pada 15 April 2027.
Sementara itu, projek keempat melibatkan pembinaan baharu stesen pam penggalak di kawasan Srippau, Senibong dan Jalan Bung Konis dari Jalan Tirasag dengan peruntukan RM1.3 juta serta nilai kontrak RM663,200.
Stesen pam berkapasiti 1.40 juta liter sehari (MLD) itu dijadualkan mula dibina pada 16 November 2026 dan siap pada 15 Ogos 2027 bagi meningkatkan keupayaan sistem pengagihan bekalan air di kawasan berkenaan.
Pelaksanaan kesemua projek itu dijangka memperluas akses penduduk kepada bekalan air terawat yang lebih baik dan berterusan, sekali gus meningkatkan kecekapan sistem pengagihan air serta kesejahteraan masyarakat di kawasan DUN N.2 Tasik Biru.-EDISI UKAS