Projek Bekalan Air Terawat Bakal Manfaat Penduduk Kampung Skibang
BAU: Penduduk Kampung Skibang bakal menikmati kemudahan bekalan air terawat yang lebih baik menerusi pelaksanaan Projek Penyambungan Bekalan Air Terawat di Lorong 2, Jalan Sidunuk, Kampung Skibang dengan peruntukan sebanyak RM337,000.
Projek di bawah seliaan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (Greater Kuching Coordinated Development Agency atau GKCDA) itu merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan infrastruktur asas, khususnya di kawasan luar bandar DUN N.2 Tasik Biru.
Majlis pelancaran dan penyerahan tapak projek berkenaan disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep, baru baru ini.
Projek dengan nilai kontrak berjumlah RM212,500 itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) Bahagian Kuching menerusi kontraktor Barisan Jaya.
Skop pelaksanaan merangkumi pemasangan paip jenis High-Density Polyethylene (HDPE) berdiameter 160 milimeter sepanjang 1,000 meter serta kerja-kerja penyambungan baharu atau pemindahan meter air melibatkan 20 unit.
Kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 16 November 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada 15 Februari 2027.
Pelaksanaan projek itu dijangka meningkatkan akses penduduk kepada bekalan air terawat yang lebih baik dan berterusan, sekali gus meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan masyarakat setempat.-EDISI UKAS