Sinergi 'Segulai Sejalai' Perkhidmatan Awam Sarawak, Persekutuan Pastikan Pembangunan Sampai Kepada Rakyat
KUCHING: Kerjasama erat antara Perkhidmatan Awam Sarawak dan Persekutuan menjadi pemangkin dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini berjalan lancar serta memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata, hubungan kerja antara kedua-dua pihak berada pada tahap yang sangat baik, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.
Menurutnya, sinergi itu amat penting dalam menyelaraskan pelaksanaan projek-projek mega di bawah pengawasan bersama, termasuk menaik taraf sekolah daif, membaiki klinik luar bandar, menyediakan akses utiliti air dan elektrik serta memantau projek jaringan lebuh raya utama.
"Apabila kita mampu mempercepatkan kelulusan teknikal di peringkat Persekutuan dan dipadankan pula dengan kecekapan pengurusan tanah serta logistik di peringkat Negeri, hasilnya adalah kejayaan yang tulen.
"Inilah manifestasi sebenar yang kita mahukan, iaitu proses dipendekkan, kos dijimatkan dan rakyat mendapat manfaat dengan serta-merta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) dan Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Dalam pada itu, Dato Ahmad Nadzri menyeru seluruh warga perkhidmatan awam agar menjadikan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2026 sebagai titik perubahan dengan mempertingkatkan kecekapan, menjaga integriti, menguasai teknologi digital dan memberikan perkhidmatan dengan penuh empati kepada rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas pengumuman Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 kepada kira-kira 133,000 warga kerja Persekutuan di Sarawak semasa penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua-ketua Jabatan, penjawat-penjawat awam serta kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Asyafiee Madzihi